Zairil minta urus sendiri isu gambar buat masa ini

 |Apr 20, 2017
Gambar fail kredit Facebook Zairil Khir Johari.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari telah meminta untuk menguruskan sendiri isu beberapa keping gambar dikaitkan dengannya.

Ini dimaklumkan oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow di dalam satu kenyataan hari ini.

“Memandangkan ini merupakan serangan terhadap peribadinya, Zairil Khir Johari telah meminta untuk menguruskan isu ini buat ketika ini,” kata Chow.

Chow turut memaklumkan bahawa Zairil telah memberi penerangan kepadanya dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng petang kelmarin berhubung laporan akhbar yang mengaitkan beliau dengan beberapa gambar yang disiarkan di dalam media sosial baru-baru ini.

Terdahulu, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki dan wanita di sebuah restoran telah tersebar.

Lelaki tersebut dikatakan mirip Zairil manakala wanita tersebut dikatakan mirip seorang ahli DAP.

Kemesraan dipaparkan kedua individu di dalam gambar tersebut telah megundang kritikan pelbagai pihak.

Memberi respon kepada The Star Online, Zairil menafikan beliau merupakan lelaki di dalam gambar tersebut.

Zairil mendakwa gambar itu palsu dan perkara tersebut merupakan usaha untuk menyerang peribadinya.