Zaid sah ahli biasa ‘parti taboo’ DAP

 |Feb 7, 2017
Gambar kredit Twitter Zaid Ibrahim
Gambar kredit Twitter Zaid Ibrahim.

Peguam dan bekas menteri Umno Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan beliau menyertai DAP sebagai ahli biasa.

Perkara itu diumumkan Zaid di satu sidang media di rumahnya di Tropicana. Beliau turut memuat naik kenyataannya berhubung perkara tersebut di laman blog miliknya, zaid.my.

“Saya tahu, sebut saja DAP, sesetengah Melayu menganggapnya sebagai ‘taboo’,” katanya, mendakwa Perdana Menteri Najib Razak ‘bekerja lebih masa’ untuk menanam ketakutan dan kebencian terhadap DAP dikalangan pengundi Melayu.

“Dengan bantuan PAS, Najib tidak putus menyerang DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri). Mereka melabel DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi kita tidak akan biarkan mereka berjaya,” kata Zaid.

Zaid seterusnya memberikan pesanan kepada orang Melayu, dengan memetik kata-kata sasterawan negara Usman Awang, “Jangan takut melanggar pantang, jika pantang melanggar kemajuan. Jangan segan menentang larangan jika percaya kepada keadilan.”

“Melayu itu orang yang bijaksana. Kita akan tahu samada kata-kata Usman Awang ini benar atau tidak selepas pilihan raya umum ke-14,” tambahnya lagi.

Zaid yang sebelum ini pernah menganggotai Umno, PKR dan parti Kita turut merakamkan ucapan terima kasihnya terhadap Mahathir yang turut hadir di sidang media tersebut.

“Adalah penting bagi rakyat untuk tahu bahawa anda sedang mengetuai usaha untuk berjuang demi masa depan negara,” kata Zaid kepada Mahathir yang juga merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).

Zaid turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan DAP, terutama penasihatnya Lim Kit Siang kerana menerima keahliannya.

“Saya tidak mengejar jawatan di dalam parti ini, dan hanya ingin membantu di dalam usaha kita membina semula negara ini.

“Saya berharap dapat memberitahu cucu-cucu saya nanti bahawa saya merupakan sebahagian dari pasukan yang membantu Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir mengambil semula negara ini dari mereka yang tidak bertanggungjawab dan bersifat hipokrit,” katanya lagi.