Wanita abai kanak-kanak didenda RM10,000

Jan 11, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini menjatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara setahun dan khidmat masyarakat selama 240 jam ke atas seoarang wanita yang didakwa mengabaikan kanak-kanak tiga tahun di sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Gemenceh di Tampin, Khamis lepas.

Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Shamsinar Ambia, 36, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Shamsinar didakwa sebagai penjaga meninggalkan kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak berpatutan di sebuah rumah sewa di Kampung Parit Buluh, Tampin pukul 7 malam, Khamis lepas.

Terdahulu, Shamsinar memberitahu hakim bahawa ini kesalahan pertamanya.

“Saya miskin dan mempunya tiga anak berusia 13, 14 dan 17 yang masih bersekolah. Saya tidak bekerja dan suami tidak mempunyai pekerjaan tetap,” dia memberitahu mahkamah.

Walaubagaimanapun, timbalan pendakwaraya Nik Azhan Hakim Nik Mahmood meminta mahkamah mengenakan hukuman yang berpatutan kerana hukuman jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 33(1)(c) Akta Kanak-Kanak 2001 telah dinaikkan ke denda RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Shamsinar yang tidak diwakili peguam akan menjelaskan denda yang dikenakan. – Bernama