Voice370 gesa pencarian MH370 diteruskan

 |Jan 17, 2017
Voice370 menggesa agar pencarian diteruskan berdasarkan laporan First Principles Review dikeluarkan ATSB Disember lalu.
Voice370 menggesa agar pencarian diteruskan berdasarkan laporan First Principles Review dikeluarkan ATSB Disember lalu.

Susulan pengumuman dibuat tentang penggantungan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, Voice370 meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan terbaru ini.

Di dalam satu kenyataan, Voice370 membangkitkan laporan First Principles Review yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada Disember tahun lepas yang telah mencadangkan kawasa pencarian baru meliputi 25,000 kilometer persegi di arah utara kawasan pencarian sekarang.

“Harapan untuk memastikan ‘lokasi tepat pesawat’ sebelum meneruskan pencarian adalah sebaik-baiknya satu jangkaan yang salah, dan seburuk-buruknya merupakan formulasi bijak untuk mengakhiri pencarian,” kata Voice370.

“Mengapa perlu ada misi pencarian jika sudah tahu lokasi tepat di mana pesawat itu berada?” tanya Voice370.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng dan Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester di dalam satu kenyataan bersama berkata keputusan untuk menggantung misi pencarian MH370 adalah konsisten dengan keputusan yang dicapai tiga negara ini di dalam mesyuarat tiga pihak yang diadakan di Putrajaya pada Julai 2016.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac, 2014.

Voice370 yang merupakan kumpulan sokongan keluarga mangsa MH370 turut berpendapat bahawa meluaskan kawasan pencarian seperti yang dinasihatkan oleh pakar merupakan tanggungjawab terhadap masyarakat berhubung keselamatan penerbangan.

“Kapal terbang komersial tidak seharusnya dibiarkan boleh hilang tanpa kesan,” kata kumpulan tersebut.

Setelah menjalankan pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, kumpulan itu berkata mengakhiri pencarian itu sekarang adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Kami merayu kepada Malaysia, China dan Australia untuk mempertimbangkan semula keputusan menggantung misi pencarian ini.

“Kami juga merayu kepada semua negara-negara lain, majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), industri penerbangan sivil, syarikat pembuat kapal terbang dan peralatan kapal terbang, organisasi masyarakat sivil dan masyarakat seluruh dunia yang juga menggunakan perkhidmatan penerbangan supaya terus berharap ketiga-tiga negara ini untuk meneruskan pencarian berdasarkan nasihat terbaik, dan bukti-bukti terbaru, analisa dan cadangan yang telah diutarakan di dalam laporan First Principles Review.

“Voice370 juga mengakui usaha hebat yang telah dilakukan negara-negara terlibat setakat ini dan juga sokongan hebat yang diberikan pihak media di seluruh negara.”

SHARE