Vida luah perasaan tidak dijemput hadiri AJL31

 |Jan 23, 2017
Pengasas Vida Beauty Hasmiza Othman memberitahu beliau tidak dijemput ke AJL31 atas alasan tiada tempat duduk. - Gambar fail kredit Instagram @datoserivida.
Pengasas Vida Beauty Hasmiza Othman memberitahu beliau tidak dijemput ke AJL31 atas alasan tiada tempat duduk. – Gambar fail kredit Instagram @datoserivida.

Pengasas Vida Beauty Hasmiza Othman mendakwa beliau tidak dijemput menghadiri Anugerah Juara Lagu (AJL) yang diadakan malam tadi kerana tiada tempat duduk.

Meluahkan perasaan melalui laman Instagram miliknya, Hasmiza dalam muat naik video malam tadi berkata, “Saya malam ni duduk di rumah saja, ada plan ke KL tapi tak jadi.”

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida itu juga memberitahu beliau tidak menonton AJL.

Vida juga berkata beliau telah mengikuti perkembangan AJL sejak enam tahun lalu dan menonton konsert akhir pertandingan itu setiap tahun.

Bagi dua tahun sebelum ini, Vida juga telah menjadi penaja AJL di bawah TV3.

“Dua tahun taja dan dua tahun juga bersama TV3 tapi malam ini saya tidak ada tempat duduk (seat), tidak diberi tempat duduk (seat),” katanya.

Walaupun menyebut beliau tidak kisah dengan perkembangan ini, Vida melontarkan soalan, “Sebesar-besar PWTC tiada tempat duduk untuk saya?”

Difahamkan Vida tidak menaja AJL tahun ini tetapi mengikut laporan Malay Mail Online, Vida masih lagi menaja di TV3.

“Memang kali ini saya tidak taja AJL tetapi saya ada menaja di TV3. Saya pun bukanlah mahu pergi sangat sebab akan berangkat mengerjakan umrah Rabu ini,” beliau dipetik berkata oleh Malay Mail Online.

Vida juga meluahkan pendapatnya kepada laman berita itu bahawa kemungkinan pihak penganjur bimbang kehadirannya di AJL akan memberi publisiti percuma kepada produk perniagaannya.

AJL ke 31 berlangsung malam tadi di Putra World Trade Centre (PWTC) dan menyaksikan Dayang Nurfaizah merangkul gelaran juara menerusi lagu Lelaki Teragung ciptaan Natasyah dengan lirik ditulis oleh Iman Imran.