Vida dakwa terima 50 permohonan jadi calon suami

 |Aug 1, 2017

PETALING JAYA: Meskipun tiga kali gagal dalam perkahwinan, ia tidak membuatkan usahawan selebriti Datuk Seri Hasmiza Othman merasa serik untuk bergelar isteri lagi pada masa hadapan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Vida kini lebih terbuka mengenai soal cinta sehingga ramai jejaka termasuk dari luar negara yang mencuba nasib memikat hatinya.

Dakwanya, sehingga hari ini sekurang-kurangnya 50 resume diterima menerusi kiriman emel daripada jejaka yang meluahkan hasrat untuk memperisterikannya.

“Dalam banyak-banyak resume, ada yang dari Finland dan Scotland. Tapi saya tak tengok pun lagi, takut nanti terjatuh cinta,” katanya dipetik dari Mstar Online.

Namun, bagi jejaka di luar sana yang mahu memperisterikan Vida perlulah memenuhi kriteria ini iaitu bermata kelabu, kaya dan boleh menerima hobinya yang suka membeli-belah.

“Dia kenalah ada karakter yang saya mahukan iaitu bermata kelabu tapi ada ke calon-calon seperti itu?

“Dia juga kenalah terima diri saya seadanya. Lelaki mana yang sanggup terima kalau sekali shopping saya borong 14 handbag terus? Pengsan lelaki tu,” katanya.

Jelasnya, individu yang mahu menjadi calon suaminya juga perlu setia, amanah, jujur, beriman, penyayang dan paling penting boleh membahagiakan dirinya dan juga anak-anak serta menerima dirinya seadanya.

Vida mengakui setakat ini masih belum menemui penganti selepas tiga kali gagal dalam perkahwinan.

Perkahwinan kali ketiga ahli perniagaan itu dengan Fairuz Ahmad Zainuddin pada Januari 2014 gagal selepas tiada persefahaman.

Usahawan berusia 46 tahun itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah, Ipoh pada 7 April lalu. – MO

SHARE