Valet Doa: Minta terus kepada Allah, tidak perlu orang tengah

 |Feb 16, 2017
Laman Facebook Valet_Doa.
Laman Facebook Valet_Doa.

Di zaman serba moden ini, kelihatan ramai menjadi semakin kreatif di dalam usaha mereka untuk menjalankan perniagaan. Semakin hari, semakin banyak kita dengar pendekatan berlainan diambil oleh para peniaga untuk memastikan perniagaan mereka dikenali ramai.

Terbaharu, viral di media sosial tentang perkhidmatan yang diberi nama Valet Doa, diusahakan oleh seorang individu bernama Nasrin Harin atau Haji Arin.

Laman Facebook Valet Doa dikongsi ramai netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan konsep perniagaan yang berlandaskan kepada menyampaikan doa di Mekah.

Menurut apa yang ditawarkan, Valet Doa memberi peluang kepada mereka yang mempunyai hajat yang penting tetapi tidak boleh pergi sendiri ke Mekah dalam masa terdekat.

Seperti yang kita faham secara umumnya, Mekah merupakan tanah suci bagi umat Islam dan terdapat lokasi mustajab di sana untuk umat Islam berdoa. Kita juga sudah tentu pernah menyampaikan pesanan kepada rakan-rakan atau ahli keluarga yang ingin ke Mekah untuk menyampaikan doa kita apabila mereka berada di sana.

Mungkin bersandarkan kepada konsep itu, Haji Arin mengambil selangkah ke depan dengan ‘mengkomersialkan’ kaedah pesanan yang telah lama kita praktikkan.

Tetapi apabila dia meletakkan harga mengikut lokasi, dan ada pakej yang mencecah harga RM5,000 bagi menyampaikan doa, ramai yang bertindak mengecam perkhidmatan Valet Doa.

Penulis juga cuba untuk melihat sejauh mana kebenaran perniagaan yang sedang cuba diusahakan Haji Arin ini dengan menghantar mesej ke nombor telefon yang tertera di laman Facebook Valet Doa.

Mesej dibalas dengan beberapa gambar pakej Valet Doa, di mana orang yang membalas mesej tersebut meminta agar memilih pakej terlebih dahulu.

Menurut gambar-gambar pakej yang dihantar, dikatakan terdapat promosi bagi 333 orang yang terawal, dengan diskaun sebanyak 50 peratus.

Setelah penulis memberitahu pakej yang dihajati, penulis diminta membuat bayaran.

Nombor akaun dan nama syarikat, Aliran Cerdas Enterprise kemudiannya diberikan melalui WhatsApp.

Menurut semakan online, Aliran Cerdas Enterprise merupakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan beralamat di Ipoh, Perak, dikendalikan oleh Mohd Nasrin Harin.

Di satu halaman direktori online, Aliran Cerdas dikatakan sebuah syarikat pembinaan yang ‘banyak mengambil kerja-kerja pembinaan daripada syarikat pemaju perumahan swasta, juga mengambil kerja-kerja terus kepada pemilik rumah individu’.

Laman Facebook Valet Doa juga kelihatan masih aktif beroperasi sehingga hari ini, dengan bilangan Like mencecah 5,639 orang, walaupun hebat dikecam netizen.

Malaysia Outlook kemudiannya menghubungi penasihat media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tuan Asmawi Tuan Umar untuk mendapatkan pandangan beliau tentang Valet Doa.

Pada dasarnya, Tuan Asmawi berpendapat model perniagaan ini seolah-olah mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain, yang berkemungkinan masih tidak mampu untuk pergi sendiri ke Mekah.

“Doa ialah senjata orang Mukmin, pesan Nabi Muhammad (saw), dan Allah SWT juga berfirman, ‘Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu’,” kata Tuan Asmawi.

“Bagi yang tak dapat sampai ke Mekah, adakah dengan cara transaksi pengurusan doa, ada bukti doa itu sampai?” tanya Tuan Asmawi yang menjelaskan bahawa doa itu subjektif.

Beliau berkata, sebagai umat Islam kita boleh berdoa kepada Allah dimana sahaja kita berada, asalkan tempat itu bersih.

“Allah berikan kawasan terbuka kepada kita (untuk berdoa), dengan syarat, ada termanya. Kalau kita tidak berada di tempat yang paling suci (Mekah), di tempat kita sendiri juga ada waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa,” tambahnya lagi, dan memberi contoh salah satu waktu yang mustajab untuk berdoa ialah bangun pada tengah malam.

“Bagaimana dengan orang miskin yang tidak dapat pergi Mekah untuk menunaikan haji dan umrah?” katanya, menjelaskan bahawa tidak bermakna doa mereka tidak akan makbul.

“Kita tak nafikan Mekah ialah tempat paling suci, tapi dengan cara mewakilkan doa, seolah-olah anda manusia pilihan. Anda bukan wakil Allah SWT. Siapa anda? Hanya manusia biasa sahaja,” katanya, merujuk kepada sesiapa yang menjalankan perniagaan seumpama ini.

“Apa jaminan dari segi fakta bahawa doa telah dibuat?”

Mengulas dari segi perniagaan pula, Tuan Asmawi berkata sekiranya seseorang itu jujur, dia akan memilih perkara lain untuk melakukan perniagaan.

“Orang berniaga ni, kalau bulu hidung pun dia boleh nak niagakan. Saya tak hina cara dia nak berniaga, tetapi cara serta terma dan syarat perniagaannya itu, dia tidak boleh dijadikan barang material,” katanya.

“Sekiranya jujur, pergi ke Mekah dan doa lah untuk semua orang Islam, pohon kepada Allah SWT supaya ampunkan semua dosa Muslimin dan Muslimat, yang hidup dan yang telah meninggal. Tidak perlu ambil persen (hasil),” kata Tuan Asmawi.

Beliau juga berkata pada pendapatnya, walaupun konsep Valet Doa nampak baik, tetapi ia adalah komersial semata-mata.

Tuan Asmawi juga menggesa umat Islam agar ringankan mulut untuk meminta sendiri dari Allah SWT dan bersangka baik Allah SWT akan mudah untuk memakbulkan doa-doa diminta.

“Kalau doa ni, mintak terus dengan Allah SWT,” katanya.

“Saya juga menggesa semua umat Islam supaya lekas sedar, akhir zaman ini macam-macam menggunakan kalimah Allah untuk diperniagakan.

“Perkara seperti ini membawa imej Islam,” katanya lagi.

SHARE
Farah Harith has been in the media industry since 2008. Her field of work has been predominantly centred on politics and human interest. She joined the industry to have a better grasp on the issues plaguing the masses.