Usia bukan penghalang bagi Zaiton Sameon

Jan 6, 2017
Penyanyi Zaiton Sameon masih aktif memenuhi undangan nyanyian. - Gambar fail kredit Facebook Zaiton Sameon.
Penyanyi Zaiton Sameon masih aktif memenuhi undangan nyanyian. – Gambar fail kredit Facebook Zaiton Sameon.

Usia bukan penghalang.

Begitulah bagi penyanyi Zaiton Sameon yang memberitahu mStar Online bahawa beliau masih menerima undangan nyanyian walaupun usianya mencecah 60 tahun.

Masih tidak terfikir untuk bersara daripada bidang nyanyian, Zaiton berkata beliau akan terus menyanyi selagi masih ada peminat yang ingin melihat persembahannya.

Penyanyi yang dahulunya popular dengan lagu Menaruh Harapan menyaksikan kejayaan indah apabila lagu ciptaan A.Ali dan lirik oleh Habsah Hassan itu muncul sebagai juara di pertandingan Juara Lagu Muzik Muzik 1987.

Bercerita mengenai undangan diterima, Zaiton memberitahu kebanyakan tawaran adalah di Johor dan Singapura.

“Tidak mengapa walaupun jauh, saya seronok kerana itu rezeki saya dan dapat menghiburkan peminat,” Zaiton dipetik berkata.

Beralih kepada rakaman studio, Zaiton juga bakal tampil dengan album baharu berjudul ‘Terimalah Aku’.

Menampilkan sembilan buah lagu balada, kata penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu, ‘melodinya lebih kepada era 90-an’.

Kerjaya nyanyian Zaiton yang memuncak lewat 80an terhenti seketika apabila beliau terlibat di dalam satu kemalangan pada tahun 1990.