‘Tun Mahathir tak serius banteras rasuah’

 |Aug 9, 2017
Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail MO.

KUALA LUMPUR: Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak begitu serius dalam usaha membanteras rasuah ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Semasa tempoh Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau menyelar laporan indeks persepsi rasuah sebagai agenda barat untuk memperkecilkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Malaysia,” katanya.

Tunku Abdul Aziz, yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR), turut mendakwa terdapat beberapa individu di antara era Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Tan Sri Harun Hashim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad kini, yang serius ingin membanteras rasuah namun mereka memegang jawatan itu pada zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, individu yang memegang jawatan tertinggi di dalam badan pencegah rasuah perlu mendapatkan sokongan penuh dari Perdana Menteri.

“Saya lihat Harun Hashim mendapat sokongan dari Tunku Abdul Rahman dan Dzulkifli kini mendapat sokongan penuh dari Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Tunku Abdul Aziz menegaskan usaha memerangi rasuah adalah mengubah sikap dan fikiran manusia dan ia memerlukan proses yang mengambl masa lama.

“Ini (rasuah) bukan produk, kita tidak boleh masuk ke pasaraya dan meminta untuk membeli sekilo integriti atau sekilo ubat pencegah rasuah.

“Usaha memerangi rasuah ini perlu berterusan, kita tidak boleh duduk sahaja dan membuat deklarasi bahawa kita telah melakukan apa yang perlu dan rasuah kini sudah hapus,” katanya. – MO