TMJ lawat mangsa banjir di Segamat, Kota Tinggi

 |Jan 25, 2017
Gambar kredit Facebook Johor Southern Tigers.
Gambar kredit Facebook Johor Southern Tigers.

Jumlah mangsa banjir di Johor dilaporkan terus meningkat tengah hari ini.

Terbaru dari Bernama, setakat 12 tengah hari, terdapat seramai 9,487 mangsa banjir di negeri itu, berbanding dengan 8,204 mangsa pada pukul 7 pagi tadi.

Daerah Segamat dikatakan kawasan paling teruk terjejas, di mana 50 pusat pemindahan dibuka.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turun padang melawat mangsa banjir di Segamat dan Kota Tinggi bersama beberapa pemain, kakitangan dan pegawai kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini.

Laman Facebook Johor Southern Tigers mengumumkan perkara ini, berserta dengan beberapa muat naik gambar.

Menurut laporan Berita Harian, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut sama di dalam lawatan tersebut, diiringi isteri Tunku Ismail, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut melawat mangsa banjir di Kota Tinggi di pusat pemindahan sementara Dewan Serbaguna Kota Kechil.

Semasa lawatannya yang diadakan secara mengejut, Sultan Ibrahim berpesan kepada mangsa banjir supaya mengawasi anak-anak mereka agar tidak bermain air banjir, menurut muatnaik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.