Titah ucapan Sultan Selangor di majlis berbuka puasa dan perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie

 |Jun 2, 2017
Gambar fail.

Titah ucapan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di majlis berbuka puasa bersama rakyat dan majlis perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie pada 2 Jun 2017 / 7 Ramadhan 1438H (Jumaat).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, pada petang ini Beta dapat bersama-sama rakyat Beta di Majlis Berbuka Puasa bagi tahun 1438 Hijrah serta perasmian masjid di Temasya Glenmarie, daerah Petaling.

Beta berharap dengan majlis yang dianjurkan setiap tahun ini akan berupaya meningkatkan kesedaran dikalangan umat Islam tentang betapa pentingnya tali persaudaraan diantara kita dan seterusnya menambahkan rasa kecintaan kita terhadap masjid yang menjadi lambang dan keagungan Agama Islam.

Beta difahamkan pembinaan masjid ini adalah hasil daripada sumbangan waqaf daripada beberapa syarikat termasuk Perbadanan Waqaf Selangor dan juga orang ramai. Beta amat terharu dengan kerjasama daripada pihak-pihak yang berkenaan sehingga terbinanya masjid yang indah ini. Ini telah membuktikan bahawa dengan semangat kerjasama dan toleransi antara satu sama lain, kejayaan yang cemerlang akan kita capai. Beta berkenan semangat kerjasama ini dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam untuk terus membangunkan dan memajukan lagi syiar Islam di Negeri Selangor ini.

Seharusnya kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan lindungan-Nya Negeri Selangor ini terus kekal aman dan makmur sebagai mana yang kita nikmati sekarang ini. Oleh itu, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi ini, janganlah disia-siakan dengan anasir-anasir negatif yang boleh membawa kepada ketidakselesaan dan perpecahan. Sebaliknya kita harus sentiasa berusaha dan berazam untuk terus mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini. Kita harus sedar dan mengambil iktibar bahawa pada masa sekarang ini di beberapa negara Islam di luar sana yang bergaduh sesama sendiri dan telah hilang nikmat keamanan.

Beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, berhati-hati dan peka terhadap kemunculan gejala yang tidak sihat yang cuba dicetuskan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba untuk mengubah landskap kehidupan rakyat yang harmoni dan aman damai di negeri ini. Penyebaran ajaran sesat dan fahaman yang jauh menyimpang dari ajaran agama Islam yang sebenar akan mengelirukan rakyat dan boleh membawa keadaan huru-hara jika tidak dibendung. Beta difahamkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, terdapat lima belas (15) kumpulan ajaran agama sesat yang masih aktif di Negeri Selangor ini yang perlu diambil tindakan dengan serius oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Beta menitahkan supaya imam-imam, ahli jawatankuasa masjid serta masyarakat hendaklah juga bertanggungjawab melaporkan kepada pihak yang berwajib sekiranya mendapati ada aktiviti dan ajaran yang meragukan di tempat mereka. Janganlah hanya mengharapkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja untuk membendung ajaran sesat ini.

Beta juga berkenan supaya golongan Imam, Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid serta Ahli-Ahli Ilmuwan Agama Islam supaya terus memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada rakyat jelata, terutama golongan muda tentang ajaran Islam yang sebenarnya serta kepentingan memelihara ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah agar umat Islam di Negeri Selangor ini sentiasa berada di landasan yang benar dan tidak terjerumus ke lembah kesesatan atau terlibat dengan keganasan yang ekstrimis seperti ISIS dan Daeish. Beta berkenan supaya segala jenis pendekatan digunakan untuk tujuan pendidikan ini, termasuk penggunaan media elektronik atau media cetak dan ianya hendaklah merangkumi seluruh peringkat umur dan latar belakang rakyat.

Masjid merupakan lambang keagungan Islam dan sebagai tempat suci yang menghubungkan antara hamba dan penciptaNya. Masjid juga berperanan sebagai salah satu tempat untuk menyatu-padukan umat Islam. Oleh yang demikian Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid hendaklah sentiasa dapat bekerja dengan penuh dedikasi, jujur dan ikhlas serta memastikan bahawa semua peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor ini agar sentiasa dipatuhi. Setiap penceramah atau pensyarah dari luar hendaklah dirujuk kepada pihak JAIS bagi memastikan bahawa mereka ini benar-benar layak serta mengamalkan amalan yang selari dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Beta sangat dukacita dengan peristiwa yang berlaku baru-baru ini di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, di mana Ahli Parlimen Kawasan Subang, Sivarasa telah berucap di dalam Dewan Solat masjid tersebut, sedangkan Beta telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang yang bukan beragama Islam. Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam masjid adalah kerana Beta tidak mahu ianya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam. Namun teguran Beta nampaknya tidak diendahkan dan Beta ingin menegaskan – Ahli Parlimen Subang Sivarasa, ʺYou have crossed the line!ʺ Jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar dari kawasan masjid, Beta tidak menghalangnya, itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun tidak, tetapi jangan samasekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid.

Nazir masjid, Imam dan Ahli Jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah Beta dan tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik. Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak.

Beta memberi kuasa kepada Nazir, Imam dan Ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid. Maka gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya. Jikalau ada di antara Nazir, Imam atau Ahli Jawatankuasa Masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, Beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi Nazir, Imam atau Ahli Jawatankuasa Masjid dan serahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain. Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya menamatkan perkhidmatan Nazir, Imam dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Di dalam kes masjid An-Nur Kampung Melayu Subang ini, Beta mahu supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat perkara ini dengan terperinci dan sekiranya didapati ada bukti yang Ahli Jawatankuasa Masjid ini melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadhan.

Selain daripada itu, Beta juga menitahkan supaya Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid sentiasa mengambil berat tentang kebersihan masjid terutama di Dewan Solat, Tempat Wuduk dan juga Tandas-tandas. Kebersihan setiap kawasan di masjid ini hendaklah terus diselenggara dan dipelihara pada setiap waktu. Ini semua adalah bagi menarik lebih ramai jemaah datang ke masjid untuk beribadat dan dapat merasakan keselesaan serta dapat beribadat dengan lebih khusyuk.

Di kesempatan ini, Beta ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh rakyat Beta yang beragama Islam. Di hari yang mulia dan bulan yang baik ini, Beta berkenan supaya Orang-Orang Melayu merenung dan memikirkan dengan sedalam-dalamnya untuk bersatu-padu mempertahankan agama Islam dan kedudukan Orang-Orang Melayu di tanah air tempat tumpah darah kita yang di kasihi ini. Janganlah saling fitnah-memfitnah dan mengadu-domba antara satu sama lain, terutamanya di musim menjelang Pilihanraya Umum yang akan tiba tidak lama lagi. Sesungguhnya Bulan Ramadhan adalah masa yang sesuai untuk kita melakukan ibadat dan kebaikan bagi memperoleh keberkatan daripada Allah Subahanahu Wata‘ala.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, Beta mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada Syarikat I & P Group, DRB Hicom Berhad, UDA Holdings Berhad, Khidmat Amal Jariah daripada semua Perunding-perunding profesional yang memberi khidmat percuma dan Wakaf persendirian daripada Ahli-ahli Kariah setempat serta sumbangan orang ramai melalui Tabung Wakaf Khas yang telah mewakafkan dana mereka ke jalan yang diredhai Allah ini. Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Waqaf Selangor melalui sumbangan Fi Sabilillah Tabung Wakaf Am menyelaraskan pembinaan masjid ini sehingga siap.

Tidak lupa juga Beta mengucapkan penghargaan kepada Permodalan Nasional Berhad kerana menunaikan Zakat Perniagaan berjumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Tujuh Juta (RM27 Juta) kepada Lembaga Zakat Selangor.

Sebagai mengakhiri titah ucapan Beta ini, marilah kita sama-sama memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga kita semua sentiasa mendapat pertolongan dan berada di dalam pemeliharaan serta barakah Allah yang berterusan. Semoga negeri ini terus berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara yang tidak diingini.

Maka dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid ini dengan nama MASJID AN NUR, TEMASYA GLENMARIE

Sekian,

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah
Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SHARE