Tikus atas makanan: 7-Eleven mohon maaf

Jan 6, 2017
Gambar viral di sosial media.
Gambar viral di sosial media.

Media sosial hari ini dikejutkan dengan gambar seekor tikus di dalam peti makanan di salah sebuah kedai serbaneka 7-Eleven.

Info diberikan bersama gambar tersebut menyatakan bahawa insiden itu terjadi di kawasan Kelana Jaya.

Di dalam muatnaik di laman Facebook rasminya, 7-Eleven berkata mereka mengambil maklum isu tersebut yang berlaku di cawangan kedai mereka di Kelana Centre Point pada 2 Januari.

7-Eleven memohon maaf kepada pelanggan di atas apa yang berlaku dan memaklumkan siasatan sudah dijalankan.

Di dalam siasatan itu, mereka turut bekerjasama dengan pihak pejabat Kementerian Kesihatan daerah Petaling.

Pihak 7-Eleven memberi jaminan ini merupakan insiden terpencil kerana mereka mempunyai sijil pengauditan jaminan kualiti dan juga sering melakukan kawalan makhluk perosak untuk mengelak dari berlakunya kejadian seperti ini.

“Kami megutamakan keselesaan dan keselamatan pelanggan dan ingin menegaskan 7-Eleven Malaysia sentiasa memastikan produk makanan kami berkualiti tinggi dan dihasilkan dengan mementingkan kebersihan di premis yang telah diaudit dan diluluskan,” menurut kenyataan mereka.