Tiga remaja ditahan susulan kekecohan di Nothing To Hide 2.0

 |Aug 13, 2017
Foto MO Noraizura Ahmad.

SHAH ALAM: Tiga remaja ditahan selepas dipercayai menimbulkan kekecohan pada program Nothing To Hide 2.0 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dua suspek yang ditahan adalah pelajar kolej swasta di Shah Alam manakala seorang lagi remaja yang tidak bersekolah.

Menurutnya, tiga remaja berusia 17 hingga 19 tahun itu ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan.

“Dua remaja itu memakai t-shirt lambang Armada berwarna merah manakala seorang lagi memakai t-shirt berwarna hitam.

“Ketiga-tiga mereka akan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika di temui media di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Shafien berkata, penganjur program tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Tambahnya lagi, semalam penganjur telah dipanggil dan diberikan peraturan sebelum program diadakan.

“Kami telah menerima permohonan penganjur dan sudah menerangkan syarat sebelum program diadakan.

“Mereka perlu memastikan program tersebut berada dalam keadaan keselamatan terkawal dan tidak berlaku kekecohan,” katanya.

Jelasnya, kekecohan yang berlaku jelas menunjukkan pengajur gagal mematuhi syarat yang terlah ditetapkan.

Shafien berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci dari semua aspek dan mahu pihak berkenaan memberi ruang kepada polis.

Menurutnya, pada program tersebut seramai tujuh pegawai dan 35 anggota polis berada di lokasi kejadian.

Jelasnya, setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam ini bagi membolehkan siasatan terperinci dibuat. – MO