Tiga lagi sekolah di Terengganu ditutup akibat banjir

Jan 3, 2017
Keadaan banjir di Hulu Besut, Terengganu. - Gambar kredit Facebook Terengganu Times
Keadaan banjir di Hulu Besut, Terengganu. – Gambar kredit Facebook Terengganu Times

Tiga sekolah di Terengganu ditutup pagi ini akibat banjir.

Bernama melaporkan jumlah keseluruhan sekolah yang terpaksa ditutup di negeri tersebut setakat ini adalah enam.

Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Sharifuddin Ali Hussin, tiga sekolah yang ditutup pagi ini adalah Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk di Hulu Terengganu, Sekolah Kebangsaan Pasir Akar di Besut dan Sekolah Kebangsaan Padang Kubu di Kemaman.

Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat berterusan memaksa ketiga-tiga sekolah ini ditutup.

Di Sekolah Kebangsaan Pasir Akar, air didapati naik antara 0.7 meter dan 1.2 meter pagi ini.

Semalam, agensi berita kebangsaan itu turut melaporkan penutupan Sekolah Kebangsaan Sungai Las, Sekolah Kebangsaan Kampung Besut dan Sekolah Kebangsaan Getang di Hulu Terengganu.

Keadaan banjir di Terengganu juga telah mengakibatkan Jalan Jerteh ke Keruak di Hulu Besut terputus hubungan dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Di dalam perkembangan yang sama, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan bahawa paras air di tujuh sungai di Terengganu kini melebihi paras bahaya.

Paras Sungai Besut di Kampung La, pada jam 11 pagi telah melebihi paras bahaya sebanyak 2.03 meter, manakala paras Sungai Dungun di Kuala Jengai pula sebanyak 1.67 meter.

Ini diikuti Sungai Besut di Jambatan Keruak yang melebihi paras bahaya sebanyak 1.07 meter, Sungai Nerus di Kampung Langkap sebanyak 0.72 meter, Sungai Berang di Kampung Menerong sebanyak 0.62 meter, Sungai Tebak di Jambatan Tebak sebanyak 0.31 meter dan Sungai Telemong di Kampung Ping sebanyak 0.08 meter.

Di Kelantan, air dari Sungai Golok dikatakan melimpah ke kawasan perkampungan sejak malam tadi.

Sinar Harian melaporkan penduduk di enam buah kampung yang terletak di pinggir sungai tersebut dijangka akan dipindahkan bila-bila masa.

Laporan dari Bernama pula mengatakan setakat jam 8 pagi tadi, 3,774 dari 1,314 keluarga kini berada di pusat pemindahan banjir di Kelantan.

Angka ini meningkat dari 1,568 malam tadi.

Peningkatan drastik dilaporkan di daerah Pasir Mas di mana 2,322 terpaksa dipindahkan berbanding dengan 241 malam tadi.

Sebanyak 40 pusat pemindahan banjir kini beroperasi di enam daerah di Kelantan.

SHARE