Tiga hadapi 899 pertuduhan lakukan pengubahan wang haram

 |Mar 29, 2017
Gambar fail Wikimedia.

Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas 899 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram kira-kira RM1.7 bilion sejak 2012 hingga tahun lepas.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan masing-masing dibacakan di dua kamar mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Mohamad Khalid Ab Rahim.

Mohamed Thamimul Ansari, 41, menghadapi 351 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM791.5 juta; Ramli Mohd Hassan, 59, sebanyak 196 pertuduhan melibatkan RM149.1 juta; manakala Muhammad Razik Mohamed Riyaludin, 36, sebanyak 352 pertuduhan melibatkan RM791.5 juta.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di sekitar bandar raya ini antara 2012 dan 2016 dengan cara melupus, memiliki, menerima dan memindahkan wang haram bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Husmarudin Husin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mahendra Mahason.

Mahkamah membenarkan Mohamed Thamimul dan Muhammad Razik, masing-masing diikat jamin sebanyak RM4 juta dengan dua orang penjamin manakala Ramli sebanyak RM2.8 juta dengan dua penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan pasport kesemua mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan. – Bernama