Tiga exco PAS tetap kekal dalam pentadbiran Selangor

Mar 31, 2017
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad. (Gambar kredit KitaKini)

Tiga anggota exco Selangor daripada PAS tidak akan keluar daripada kerajaan negeri yang diterajui PKR selagi tidak menerima arahan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata ketiga-tiga mereka termasuk dirinya juga akan menunggu keputusan muktamar PAS bulan depan, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam hari ini.

Selain Iskandar, dua lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Ahmad Yunus Hairi.

Hubungan antara PAS dan PKR tegang susulan ada cadangan daripada beberapa PAS kawasan yang menuntut pucuk pimpinan memutuskan kerjasama dengan PKR selepas parti itu bertegas untuk menjalin kerjasama dengan Parti Amanah  dan DAP.

Media sebelum ini melaporkan isu kerjasama politik antara kedua-dua parti terbabit akan dibawa ke muktamar PAS pusat yang dijadualkan 27 April hingga 1 Mei ini.

Mengulas perkembangan lain, Iskandar berkata keputusan kerajaan persekutuan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat tidak menjejaskan semangat parti itu untuk meneruskan pembentangan RUU tersebut.

“Kita akan tetap teruskan… ini inisiatif kami, kita yakin ia tetap akan dibentangkan oleh presiden parti (Abdul Hadi Awang),” kata naib presiden PAS itu.

Perdana Menteri Najib Razak pada Rabu lepas mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

RUU 355 itu diusul buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan dibuat sekali lagi pada 24 Nov tahun lepas oleh Abdul Hadi. РBernama 

SHARE