Tiada rakyat Malaysia terjejas serangan di London

 |Mar 23, 2017
Serangan di London mengorbankan lima nyawa termasuk penyerang dan seorang anggota polis
dan mencederakan 40 mangsa. – Gambar kredit Twitter @CNN.

Kementerian Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam serangan di atas Jambatan Westminister berhampiran bangunan Parlimen Britain di London, semalam.

Wisma Putra, dalam kenyataan, berkata serangan oleh pelaku yang tidak kenali itu telah mengorbankan lima nyawa termasuk penyerang dan seorang anggota polis dan mencederakan 40 mangsa.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa bagi mengetahui situsi semasa dan memberikan perkembangan terkini kepada komuniti rakyat Malaysia di London.

“Polis tempatan mengesahkan bahawa mereka mengendalikan serangan itu sebagai insiden pengganas,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu, katanya.

Dalam insiden itu, seorang penyerang ditembak mati oleh anggota polis selepas kenderaan pacuan rmpat roda yang dipandu lelaki berkenaan merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki di jambatan berkenaan.

Media melaporkan selepas kenderaan penyerang berhenti selepas melanggar pagar bangunan Parlimen, penyerang itu berlari ke arah pintu masuk yang digunakan oleh Ahli Parlimen sejauh kira-kira 20 meter.

Ketika cuba memasuki bangunan itu, penyerang dilaporkan menikam seorang anggota polis sebelum dua anggota polis berpakaian biasa menembaknya. – Bernama