Tiada pemimpin seperti Adenan Satem

 |Jan 12, 2017
Gambar fail kredit Facebook Adenan Satem.
Gambar fail kredit Facebook Adenan Satem.

Belum pernah Sarawak menampilkan seorang pemimpin yang memberi impak begitu besar kepada negeri ini dan rakyatnya seperti Ketua Menteri Adenan Satem yang meninggal dunia semalam, hanya dua minggu sebelum menyambut hari lahirnya ke-73.

Beliau diserang penyakit jantung yang menyebabkan beliau menggunakan perentak jantung untuk menstabilkan denyutan selepas tidak sampai tiga tahun menyandang jawatan dan enam bulan untuk memenuhi tempoh penggal baharunya selama lima tahun.

Kesihatannya ialah perkara yang paling dibimbangi hampir semua rakyat Sarawak sejak beberapa lama kerana di sini berdiri seorang pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan inklusif, slogan “saya ketua menteri untuk semua” dan personalitinya yang mudah mesra, jelas membezakannya sebagai pemimpin yang lebih baik untuk negeri yang sebahagian besarnya didominasi kawasan luar bandar yang masih kekurangan infrastruktur asas.

Ini diakui sendiri oleh pemimpin terdahulu, Tun Abdul Taib Mahmud, ketua kerajaan negeri yang paling lama berkhidmat dan yang secara peribadi memilih Adenan sebagai penggantinya apabila beliau mengundur diri pada Februari 2014 selepas 33 tahun menyandang jawatan Ketua Menteri.

“Adenan telah berkhidmat dengan baik di negeri ini dan beliau berkhidmat dengan penuh ikhlas. Beliau meninggalkan kerajaan yang sebaik-baiknya, bahkan lebih baik daripada apa yang saya mewarisi sebelumnya,” kata Taib semalam di Pusat Jantung Kota Samarahan dekat sini, di mana Adenan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Adenan telah beberapa kali, berkongsi pengalaman saat-saat beliau hampir meninggal dunia sama ada dalam ceramah umum dan juga semasa saya menemu bual beliau sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada Mei tahun lepas apabila menerajui Barisan Nasional dengan mendapat kemenangan besar.

“Tiga tahun lepas, saya benar-benar sakit. Saya berada di IJN (Institut Jantung Negara) di Kuala Lumpur dan sebelum itu di Singapura. Pada masa itu, saya menyangkakan yang saya akan pergi. Saya panggil semua saudara saya, anak dan cucu saya. Mereka semua datang dan apabila anda memanggil semua anak dan cucu, kamu pasti tahu apa sebabnya.

“Saya sudah bersedia untuk pergi. Namun Allah itu maha hebat dan saya pulih dan kembali normal. Apabila Tuhan memberi nafas baharu, Dia seolah-olah menyampaikan mesej kepada saya untuk melakukan yang terbaik untuk Sarawak,” kata beliau.

Faktor Adenan dan “demam” Adenan yang menyelubungi negeri ini menyebabkan beliau disayangi oleh semua lapisan masyarakat di negeri yang masalah perkauman atau agama tidak pernah menjadi isu, apatah lagi faktor yang menimbulkan perpecahan.

Adenan hanya mahu untuk berkhidmat untuk lima tahun bagi melaksanakan pelbagai rancangannya bagi melonjakkan pembangunan di negeri ini, terutama mengubah landskap luar bandar di negeri ini yang mendapat rangsangan melalui projek pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo.

Lebuhraya Pan-Borneo ialah pencetus perubahan menghubungkan Sarawak dan Sabah seperti Lebuhraya Utara-Selatan di tanah besar semenanjung dan bermula hanya selepas Adenan menjadi ketua menteri dan bukan dalam tempoh 50 tahun sebelum itu sejak Sarawak merdeka dalam Malaysia.

Beliau bijak menyusun kata-kata, sifat ini terbit mungkin kerana beliau mempunyai pengalaman sebagai wartawan. Kerja pertama beliau ialah sebagai wartawan The Sarawak Tribune, akhbar tertua di negeri ini. Beliau kemudian mengambil jurusan undang-undang dan memperoleh ijazah sebagai peguam di Brisbane, Australia dan kemudian menjadi majistret di sini sebelum menceburi politik.

Sifatnya yang suka berjenaka kadang-kala menarik perhatian tetapi hadirin, baik perdana menteri mahupun orang biasa, menerimanya dengan tenang kerana tahu beliau bermaksud baik.

Sebagai contoh, pada pertemuan anak-anak Sarawak yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tahun lepas sebelum pilihan raya negeri, Adenan berkata beliau mahu berkhidmat “hanya lima tahun dan bukan 33 tahun”, secara sinis merujuk kepada mentornya Taib, yang turut hadir.

Faktor Taib yang panjang umur dan tidak dicabar ketika menerajui Sarawak menyebabkan negeri ini kurang bilangan ketua menteri. Adenan ialah ketua menteri yang kelima sejak 1963 apabila Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu bergabung sebagai persekutuan Malaysia sedangkan kebanyakan negeri lain mempunyai sekurang-kurangnya lebih dua kali ganda bilangannya.

Pada pilihan raya negeri 2011 di bawah Taib, BN kalah banyak kerusi pengundi kaum Cina kepada DAP tetapi dasar Adenan menyebabkan beliau diterima oleh kaum Cina dan pada pilihan raya tahun lepas, BN memenangi tujuh daripada kerusi yang tewas sebelumnya.

Satu daripada kenyataan pro-Cina beliau yang tular di media sosial ialah “Masyarakat Cina bukan pendatang di Malaysia. Jika ada rakan saya di Semenanjung Malaysia memanggil mereka ‘pendatang’, pergi jahanam dengan mereka.”

Dan beliau tidak ragu-ragu walaupun membuat kenyataan berbisa menentang usaha meminggirkan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan dan menyifatkan dasar sedemikian sebagai “bodoh” kerana Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu antarabangsa.

Tiada pemimpin lain pernah cuba menggesa supaya sistem itu dikaji semula tetapi Adenan bertekad untuk berbuat demikian sekurang-kurangnya bagi Sarawak.

Pemergiannya mungkin menjejaskan usaha sedemikian untuk mengembalikan kegemilangan era pendidikan berkualiti yang dinanti-nantikan oleh setiap penduduk di negeri ini.

Tetapi tekad Adenan untuk melaksanakan dasar-dasar berpaksikan Sarawak yang kadang-kala bercanggah dengan dasar-dasar persekutuan atau mungkin menyebabkan Putrajaya berasa kurang senang, yang menyebabkan beliau begitu dikenali berdasarkan ucapan takziah daripada netizen yang mencurah-curah diterima.

Adenan mahu supaya kuasa pentadbiran dikembalikan kepada Sarawak dan untuk tujuan ini, beliau mengemukakan perjanjian penurunan kuasa 13 perkara kepada Putrajaya.

Ucapan takziah bertali arus diterima mengenai Adenan daripada kebanyakan mereka yang berdukacita atas kematian beliau secara mengejut ketika Sarawak amat memerlukan kepimpinan beliau untuk mencapai apa yang telah digariskan.

Ahli akademik Prof Madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata Adenan “mengorbankan dirinya” untuk Sarawak kerana beliau bekerja keras dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan di tengah-tengah keadaan kesihatan yang serius.

“Beliau komited untuk mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan sendiri walaupun beliau terpaksa mengorbankan hidupnya,” katanya.

Jarang berlaku Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menjadi tajuk utama berita dalam media sejak akhir-akhir ini kerana siri tangkapan berprofil tinggi melibatkan pegawai awam, memberi penghormatan kepada ahli politik.

Tetapi sebagai penghargaan kepada Adenan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata: “Adenan dikenali sebagai pemimpin yang mempunyai integriti dan telah menunjukkan kesungguhan dalam meningkatkan kesedaran dan mencegah rasuah.”

Dr Jeniri berkata Adenan sebagai Ketua Menteri telah melarang keras saudara-mara dan anak-anaknya daripada terlibat dalam apa-apa urus niaga dengan kerajaan negeri atau memohon permit atau kontrak.

“Inilah ciri-ciri pemimpin yang berintegriti,” katanya.

Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chanda Muzaffar menyifatkan Adenan sebagai orang yang berani memperjuangkan perpaduan Malaysia dan orang yang menyedari bahawa untuk memupuk solidariti dan kesepaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia, seseorang perlu menerima dan melaksanakan dasar-dasar yang adil lagi saksama kepada semua. – Bernama

SHARE