‘Tiada kebebasan bersuara di Pulau Pinang’

Jan 4, 2017
Gambar fail kredit Facebook Oh Tong Keong.
Gambar fail kredit Facebook Oh Tong Keong.

Berikut adalah kenyataan oleh Naib Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong:

Jika diperhatikan secara teliti, kita akan dapat mengenal pasti kelainan antara Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional – BN) di bawah pimpinan Najib Razak merangkap Perdana Menteri Malaysia dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pakatan Harapan) di bawah pimpinan Lim Guang Eng.

BN lebih bertumpu kepada penawaran perkhidmatan secara ‘low profile’ dan praktikal manakala kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP memberi perkhidmatan secara ‘high profile’ malahan lebih bertumpu pada mainan politik dan tidak ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

Apabila Najib mengusulkan pelbagai pelan yang membawa manfaat kepada rakyat Malaysia seperti penawaran BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kepada golongan berpendapatan rendah dan pelan pembangunan MRT, maka DAP bersama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang pasti tampil untuk mempertikai dan mempersoal pihak media mandarin di negeri Pulau Pinang.

Antara perkara yang sentiasa menjadi fokus DAP adalah samada kenyataan Lim Guang Eng diterbitkan oleh pihak media ataupun tidak, semata-mata untuk menyusahkan pihak media yang terbabit.

Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak prihatin terhadap perkara-perkara utama tetapi lebih bertumpu pada isu-isu kecil seperti isu penerbitan kenyataan DAP di saluran media dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, mereka sentiasa bertindak untuk membuat aduan terhadap pihak media berkenaan. Aduan turut dilakukan terhadap pemimpin BN dengan tujuan untuk menekan golongan yang membangkang dan mengawasi kerajaan negeri Pulau Pinang, terutamanya pihak media. Satu lagi bukti yang amat ketara adalah apabila Gerakan Rakyat membongkar tentang isu Pulau Jerejak, Lim Guang Eng bertindak untuk menghantar surat peguam kepada Teng Chang Yeow, Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang.

Tindakan tersebut juga bertujuan untuk memberi amaran kepada semua yang ingin ambil tahu terhadap isu Pulau Jerejak, terutamanya pihak NGO bahawa sesiapa yang meluahkan perkara yang tidak disenangi oleh Lim Guang Eng, maka individu tersebut juga akan diambil tindakan undang-undang.

Kami, Gerakan Rakyat Malaysia bersama BN tidak akan berdiam diri disebabkan didakwa oleh Lim Guang Eng, malahan kami tetap akan berjuang bersama-sama NGO lain demi kepentingan dan kebajikan masyarakat awam.

Pada hari ini, kita dapat menyaksikan bahawa Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia telah keluar daripada Parti Umno, lantas menubuhkan sebuah parti baharu untuk melawan pimpinan Najib. Mahathir juga kerap kali membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap Najib.

Namun begitu, Najib bersama BN tetap bersabar dan tidak mengambil sebarang tindakan susulan terhadap Mahathir atas tuduhan yang dilakukan oleh beliau.

Jika kita merujuk kembali kepada negeri Pulau Pinang, dalam tempoh masa lapan tahun ini, didapati banyak pihak media dan NGO telah menerima dakwaan daripada Lim Guang Eng, DAP dan kerajaan negeri.

Sebahagian daripada restoran tempatan dirobohkan atas alasan menyalahi skema pembangunan setelah mereka menyuarakan kritikan terhadap Lim Guang Eng. Bukankah perkara sebegini jelas membuktikan bahawa Lim Guang Eng memang berniat untuk memberi balasan kepada mereka yang melawan/mengkritik pimpinannya?

Biarpun Najib dituduh dan dikritik oleh Mahathir pada setiap masa, tetapi beliau tetap memperlihatkan pengamalan kebebasan bersuara dalam kepimpinan beliau. Sebaliknya di negeri Pulau Pinang, jika sesiapa yang mengkritik atau “memaki” Lim Guang Eng dan kerajaan negeri, maka anda perlu bersiap sedia untuk menanggung risiko bahawa anda akan menerima dakwaan daripada mereka!

Kerajaan BN sentiasa berkhidmat untuk negeri Pulau Pinang, terutamanya dari segi pembangunan kemudahan infrastruktur di dalam negeri. Sebagai contohnya, pelan penaiktarafan terhadap rangkaian jalan raya dari Permatang Damar Laut  menerusi Batu Maung dan Teluk Kumbar merupakan antara pelan pembangunan di bawah seliaan dan pelaksanaan Kerajaan Persekutuan BN. Pelaksanaan kerja penaiktarafan tersebut bertujuan untuk mengatasi masalah pengangkutan kenderaan di dalam negeri Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha ini dilakukan oleh Kerajaan BN secara ‘low profile’. Sebaliknya, kerajaan negeri yang telah mentadbir hampir 9 tahun masih tidak dapat menunjukkan sebarang kejayaan nyata daripada projek-projek pembinaan yang dicadangkan seperti LRT, tram, terowong dasar laut dan sebagainya. Segalanya adalah omongan kosong semata-mata.

DAP sentiasa bertindak untuk melawan pihak media, jika didapati mana-mana kenyataan Lim Guang Eng yang tidak diterbitkan, maka mereka akan mengambil tindakan terhadap pihak media berkenaan.

Hal ini ibarat ‘kacang melupakan kulit’, mereka tidak pernah mengenang jasa dan budi pihak media yang telah memberi sokongan kepada DAP sempena PRU pada tahun 2008 sehinggakan mereka diangkat sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sehingga kini, walaupun BN Pulau Pinang dan kerajaan BN dikritik oleh pihak media, tetapi kami tidak pernah bertindak untuk mendakwa pihak media berkenaan. Maka, hal ini jelas menunjukkan sejauh mana darjah keterbukaan antara BN dengan DAP dalam menerima kritikan atau idea yang berbeza.