Tiada GST jika Pakatan Harapan tawan Putrajaya, kata Lim Guan Eng

 |Jan 16, 2017
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan akan memansuhkan GST jika berjaya menawan Putrajaya. - Gambar fail kredit Facebook CM Lim Guan Eng.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan akan memansuhkan GST jika berjaya menawan Putrajaya. – Gambar fail kredit Facebook CM Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan akan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika berjaya menawan Putrajaya.

Bercakap di majlis makan malam DAP Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi, Lim juga berkata Pakatan Harapan akan memansuhkan kutipan tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Lim mendakwa cukai GST 6% itu telah menyebabkan kenaikan kos sara hidup dan bukan menyelamatkan Malaysia seperti disebut Perdana Menteri Najib Razak.

Mengulas kutipan tol di Lebuhraya Utara Selatan, Lim berkata rakyat tidak sepatutnya terus membayar tol kerana syarikat konsesi itu telah pun membuat kutipan tol berjumlah RM37.4 billion sepanjang 30 tahun lepas.

Lim juga mengulang dakwaan pihak pembangkang menyalahkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi masalah ekonomi negara serta penyusutan nilai ringgit.

Bercakap mengenai kekurangan dana kerajaan, Lim mendakwa puncanya adalah rasuah.

“Ekonomi sekarang mencabar, dan ia sangat teruk sehingga kerajaan pusat tidak cukup wang. Peruntukan bagi pendidikan dan hospital dipotong,” katanya.

“Kerajaan juga belum memberikan peruntukan RM50 juta kepada sekolah-sekolah Cina seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016,” dakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Tahu tak betapa kecilnya RM50 juta kepada kerajaan persekutuan. (Jumlah itu) hanyalah 0.02% dari jumlah bajet. Kerajaan Pulau Pinang pun boleh pinjamkan jumlah itu kepada mereka,” Lim berkata.