Syed Saddiq nafi anak MB Johor sertai Pribumi

 |Jul 14, 2017
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sidang media Armada Pribumi hari ini. – Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Ketua Armada (pemuda) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan anak kepada Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled tidak pernah menyertai parti tersebut seperti yang tersebar sebelum ini.

Menurutnya, walaupun laporan tersebut dipercayai disebarkan sebuah laman sesawang milik parti DAP, tetapi beliau terpanggil untuk membuat penjelasan.

“Kami mengamalkan politik matang dan perkara ini perlu diperbetulkan.

“Dia (Akmal) bukan ahli Armada PPBM (Pribumi), dia masih lagi ketua (Penerangan) Pemuda Umno,” katanya pada sidang media di pejabat Pribumi di sini, hari ini.

Jelasnya, tanggapan tersebut perlu diperbetulkan walaupun DAP dan Pribumi berada di bawah satu ikatan.

Baru-baru ini, Akmal Saufi dikatakan meninggalkan Umno dan menyertai Pribumi seperti didakwa Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali dalam satu rencana “Zahid, bukan setakat Johor yang mahu ditawan”.

Akmal Saufi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Johor bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan menjelaskan beliau masih lagi ahli Umno malah masih bergiat aktif melaksanakan objektif penubuhan parti Melayu itu. – MO