Syed Saddiq dakwa program Nothing to Hide disabotaj

 |Aug 13, 2017
Foto MO Noraizura Ahmad.

SHAM ALAM: Ketua Pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kekecohan yang berlaku pada program Nothing To Hide 2.0 ada unsur sabotaj pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ada pihak yang mahu mencederakan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan balingan selipar, botol, kerusi dan suar itu ditujukan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Ada elemen untuk sabotaj program ini dan mencederakan Tun Mahathir.

“Kami kecewa dengan kejadian ini dan mahu polis menjalankan siasatan sewajarnya,” dakwanya pada sidang media selepas program tersebut terpaksa dihentikan selepas satu setengah jam berjalan.

Syed Saddiq mendakwa individu yang mencetuskan kekecohan itu memakai baju menyerupai baju Armada dan bertindak menanggalkan pakaian selepas tindakan mereka diketahui anggota keselamatan Armada.

Menurutnya, dua individu yang dipercayai menimbulkan kekecohan ditahan anggota keselamatan Armada sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, selepas kekecohan berkenaan, pihaknya menemui baju tee berwarna merah yang tertulis perkataan Armada, dua suar dan beberapa pasang selipar.

“Ini adalah perkara yang sudah dirancang dan difahamkan mereka ini adalah pelajar yang diupah untuk sabotaj program ini,” dakwanya.

Jelasnya, Armada akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan akan menyerahkan rakaman video serta gambar bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Armada enggan mendedahkan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut dan kecewa dengan insiden berkenaan.

Program Nothing To Hide 2.0 tercalar selepas ada pihak membaling selipar, botol, kerusi dan suar ketika Mahathir menjawab soalan peserta mengenai kejadian Memali,  Baling yang berlaku pada tahun 1985.

Mahathir yang menjawab semua soalan sensitif peserta pada program yang bermula kira-kira jam 4 petang itu terpaksa dihentikan selepas insiden berkenaan berlaku.

Syed Saddiq berkata Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan dibawa keluar dari Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MO