Syed Ali sangkal dakwaan SPRM hanya ‘bermain wayang’

Jan 11, 2017
Syed Ali Alhabshee kesal atas tuduhan kononnya SPRM memburu pelaku rasuah atas arahan Perdana Menteri Najib Razak kerana PRU14 semakin hampir. - Gambar fail kredit umnobahagiancheras.blogspot.my.
Syed Ali Alhabshee kesal atas tuduhan kononnya SPRM memburu pelaku rasuah atas arahan Perdana Menteri Najib Razak kerana PRU14 semakin hampir. – Gambar fail kredit umnobahagiancheras.blogspot.my.

Ketua Umno bahagian Cheras Syed Ali Alhabshee hari ini menyelar pemimpin pembangkang yang mempersendakan Perdana Menteri Najib Razak yang meminta penjawat awam menjauhi perbuatan rasuah.

“Pembangkang sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama dengan kerajaan untuk menangani masalah rasuah kerana gejala itu melingkari kehidupan setiap manusia.

“Rasuah boleh berlaku di mana-mana, kemungkinan boleh terjadi kepada kakitangan kerajaan di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang,” katanya menerusi kenyataan yang dibuat di laman blognya hari ini.

Bercakap tentang dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memburu pelaku rasuah berprofil tinggi merupakan agenda menuju pilihanraya umum ke-14, Syed Ali menegaskan Umno sebagai tunggak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit perbuatan rasuah.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata beliau kesal atas tuduhan kononnya SPRM memburu pelaku rasuah atas arahan Najib kerana PRU14 semakin hampir.

Menyifatkannya sebagai dakwaan mengarut, beliau berkata tuduhan sedemikian adalah tidak berasas.

“SPRM tidak ada kaitan dengan politik, apatah lagi sebagai alat Umno untuk menarik undi,” ujar Syed Ali.

“UMNO sentiasa bersifat terbuka dan akan bekerjasama dengan kerajaan termasuk SPRM untuk membanteras gejala rasuah,” katanya.

Beliau menambah bahawa SPRM menjalankan tugas selari dengan peranannya sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang yang dipertanggungjawabkan membenteras kegiatan rasuah di negara ini.

Berikutan tuduhan SPRM sekadar ‘bermain wayang’ dengan menahan mereka yang berprofil tinggi, beliau berkata jika SPRM tidak membuat kerja, mereka akan dituduh sengaja menggalakkan rasuah.

“Jadi yang mana betulnya?” soalnya, sambil menegaskan bahawa SPRM tidak perlu tunduk kepada tekanan atau kecaman pihak berkepentingan dalam menjalankan tugas mereka.

Di dalam perkembangan yang sama, Syed Ali berkata beliau bangga di atas kecekapan dan ketegasan SPRM menangani gejala rasuah di negara ini dan mahu dipertingkatkan dengan mengheret pelaku rasuah ke muka pengadailan walaupun membabitkan individu ternama atau pemimpin politik.