Sultan Johor tidak minat berdebat dengan Mahathir

 |Jan 18, 2017
Gambar fail kredit Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Gambar fail kredit Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya membuat kenyataan berdasarkan fakta dan nombor, bukannya berdasarkan laporan berita dari barat,” kata Sultan Johor yang memberitahu akhbar bahasa Inggeris The Star bahawa baginda tidak berminat untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

“Saya sudah katakan apa yang hendak saya katakan. Cukup di sini,” katanya lagi.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata demikian apabila diminta memberi komen mengenai jawapan balas Mahathir berkenaan projek Forest City di Johor.

“Saya tidak membuat andaian dan tidak menakut-nakutkan. Saya tidak mahu merendahkan diri saya,” beliau dipetik berkata.

Tambahnya lagi, beliau hanya berminat dengan kebajikan rakyatnya dan bukan politik.

Mahathir sebelum ini mengkritik projek Forest City yang dikatakan akan mengakibatkan peningkatan kemasukan warga China ke Johor.

Sultan Ibrahim kemudiannya menyelar kenyataan tersebut dan mendakwa Mahathir telah memutarbelitkan isu mengenai pelaburan dari negara China di Johor.

Sultan Ibrahim turut mendakwa Mahathir memainkan politik ketakutan dan kaum yang tidak mempunyai tempat di Johor kerana baginda sendiri tidak percaya dengan politik perkauman.

Mahathir, di dalam kenyataan balasnya semalam berkata apa yang dikatakannya hanyalah mengulangi laporan di agensi media Bloomberg yang dibuat pada 22 November tahun lepas di mana media itu menyatakan syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang boleh menampung 700,000 penduduk.

“Bloomberg juga berkata rakyat China telah diterbangkan untuk melihat model projek tersebut dan mereka telah dan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City,” kata Mahathir di laman blognya chedet.cc semalam.