Sultan Johor jawab kritikan Dr Mahathir isu Forest City

 |Jan 16, 2017
Gambar fail kredit Global Peace Foundation.
Gambar fail kredit Global Peace Foundation.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bangkit mempertahankan isu Forest City dan menyelar bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang didakwa mementingkan politik lebih dari rakyat Malaysia, terutamanya Johor.

Di dalam temubual ekslusif bersama suratkhabar bahasa Inggeris The Star, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata Mahathir telah memutarbelitkan isu mengenai pelaburan dari negara China di Johor.

“Selama ini saya menahan diri dari memberi komen tentang kontroversi Forest City yang dibangkitkan Mahathir dan penyokongnya.

“Tetapi Mahathir telah bertindak melampaui batasan dengan memutarbelitkan isu ini. Dia mendakwa 700,000 rakyat China akan menetap di JB dan kerakyatan akan diberikan kepada mereka, serta sejumlah besar tanah telah dijual kepada orang dari China,” kata Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkata Mahathir memberi tanggapan seolah-olah Johor menyerahkan tanah kepada China dan menyerahkan kedaulatan negeri, dan membuat perbandingan dengan penyerahan Singapura kepada British.

“Saya ingin bertanya kepadanya – Forest City dibina di atas tanah tambak dan kebanyakannya merupakan unit kondominium. Dalam bahasa mudah, unit ini di atas angin, unit strata,” kata Sultan Ibrahim.

“Saya ingin bertanya kepada Dr Mahathir – bolehkah pelabur asing ini mengambil apartmen atau walau seinci tanah pulang ke negara asal mereka?”

Memberi contoh di Singapura, Sultan Ibrahim berkata rakyat di negara republik itu tidak risau apabila pelabur asing membeli hartanah di negara mereka, sebaliknya mengalu-alukan kehadiran ekspatriat mewah.

“Di sini, kita ada Mahathir yang mencipta ketakutan, menggunakan kaum, hanya untuk memenuhi kemahuan politiknya. Dia bukan bodoh, dia hanya pentingkan diri dan seorang oportunis,” kata Sultan Ibrahim lagi.

Bercakap mengenai projek Forest City, Sultan Ibrahim berkata ia akan membuka banyak ruang potensi, seperti peluang pekerjaan dan juga meningkatkan pendapatan kerajaan negeri dari segi kutipan cukai.

“Semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, dia (Mahathir) menggesa rakyat Malaysia untuk pandang ke timur tetapi sekarang dia mengkritik apabila pelabur China datang ke sini untuk membuat pelaburan.”

Sultan Ibrahim turut mendakwa Mahathir memainkan politik ketakutan dan kaum yang tidak mempunyai tempat di Johor kerana baginda sendiri tidak percaya dengan politik perkauman.

“Dia (Mahathir) menghina pelabur hartanah yang kaya dari China. Mereka tidak mengharapkan kerakyatan Malaysia. Ramai antara mereka turut mempunyai hartanah di negara-negara lain termasuk Australia dan United Kingdom.

Mahathir sebelum ini telah bertindak mengkritik projek Forest City. Beliau mendakwa sejumlah besar tanah dijual kepada orang asing tanpa sebarang sekatan. Ini, dakwanya akan mengakibatkan ramai orang asing menetap di bandar-bandar baru ini.