Sukan SEA: PDRM bersedia hadapi sebarang ancaman

 |Jul 10, 2017
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Seramai 423 pegawai dan anggota polis pelbagai unit terbabit dalam latihan amal Ex-Rimau 2017 yang memasuki siri keempat di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini, hari ini.

Latihan itu sebagai persiapan menghadapi sebarang krisis dan ancaman keselamatan sepanjang penganjuran Sukan SEA ke-29, Ogos ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, tujuan latihan tersebut adalah untuk menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan.

Menurutnya, selain menguji pelan tindak balas, latihan juga dijalankan untuk memantapkan peranan dan tugas setiap pegawai dan enggota dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman.

“Latihan ini merangkumi empat senario ancaman yang merupakan ancaman terkini berlaku di seluruh dunia.

“Kita sentiasa membuat persediaan untuk menghadapi ancaman bagi memastikan kawalan situasi berjalan dengan lancar,” katanya.

Senario tersebut termasuk serangan pengganas, letupan bom, runtuhan bangunan dan mangsa terperangkap.

Latihan amal ini meliputi 59 pegawai dan 364 anggota terdiri daripada IPD Dang Wangi, Cawangan Gerakan KDN/KA Bukit Aman. Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) BUkit Aman, Cawangan Khas Bukit Aman, Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Tindakan Khas(UTK), 69 Komando, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Tiger Platon Batalion, Ambulans PGA, FRU Terup 1C, Unit Berkuda, Unit Anjing Pegesan (K9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), E6 IPK KL dan Polis Bantuan KLCC.

Mazlan turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mempercayai berita yang tidak sahih di laman sosial dan merujuk kepada pihak berkuasa sebelum menyebarkannya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk berkongsi maklumat jika ada maklumat mengenai ancaman yang boleh menganggu gugat keselamatan negara supaya tindakan segera dapat diambil.

“PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam dan mencetuskan kekacauan semasa Sukan SEA ke-29 berlangsung nanti,” katanya.

Latihan amal Ex-Rimau 2017 diadakan sebanyak enam siri bermula di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur; National Sailing Centre, Langkawi, Kedah; International Endurance Park, Setiu, Terengganu dan siri keenam akan berakhir di Bukit Jalil. – MO