Stadium Sultan Ibrahim Larkin dijangka siap Jun 2018

Jan 3, 2017
Lakaran Stadium Sultan Ibrahim Larkin. - Gambar kredit Facebook Johor Southern Tigers
Lakaran Stadium Sultan Ibrahim Larkin. – Gambar kredit Facebook Johor Southern Tigers

Projek pembinaan Stadium Sultan Ibrahim Larkin dijangka siap lewat enam bulan dari tarikh jangkaan awal.

Bakal menjadi stadium rasmi bagi pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT), ia dijangka siap pada Jun 2018.

Ini berikutan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu membuat sedikit perubahan pada kedudukan stadium tersebut.

Menurut kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail ingin memastikan ‘arah sinaran cahaya matahari 90%  atau 100% menghala ke padang untuk pertumbuhan rumput yang baik’.

“Beberapa rekaan juga mengalami sedikit perubahan kerana baginda mahukan stadium baru itu nanti menjadi stadium yang terbaik di negara ini.”

Kelewatan enam bulan juga adalah kerana Tunku Ismail mahu memastikan kontraktor tidak tergesa-gesa menyiapkan stadium tersebut.

Di dalam laporan portal berita The Rakyat Post pada Januari tahun lalu, stadium yang menelan belanja RM200 juta itu merangkumi kawasan seluas 11 hektar di Iskandar Puteri.

Pembinaan stadium baru itu juga diharap dapat menangani kekurangan dialami stadium lama di Larkin.

Tunku Ismail memberitahu bahawa walaupun lokasi stadium baru ini bukan lagi di Larkin, namun atas sebab-sebab sentimental, beliau tidak dapat berpisah dengan nama ‘Larkin’.