SPRM terima senarai nama individu untuk ‘dipantau’ daripada FAM

 |Apr 21, 2017
Gambar kredit Facebook SPRM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima senarai nama serta butiran peribadi pemain-pemain bolasepak negara, para pengadil perlawanan, pegawai pasukan termasuk juga kakitangan di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tujuan dijalankan pemantauan yang rapi.

Senarai tersebut diberikan FAM ketika satu pertemuan malam tadi di antara suruhanjaya tersebut dan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor serta setiausaha agung FAM Hamidin Mohd Amin.

Hadir bagi pihak SPRM ialah Ketua Pesuruhjaya Dzulkifli Ahmad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki serta Pengarah SPRM Johor Azmi Alias.

Di dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata Tunku Ismail menitahkan kepada suruhanjaya tersebut untuk membantu memastikan arena sukan bolasepak negara bersih serta bebas daripada sebarang pengaruh rasuah dan salahguna kuasa.

SPRM berkata mereka akan memberikan sokongan serta komitmen yang sepenuhnya untuk memastikan sukan bolasepak negara yang melibatkan para pemain, para pengadil perlawanan serta para pegawai sukan bersih serta bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salahguna kuasa.

“SPRM sesungguhnya amat menyanjung tinggi sokongan penuh serta komitmen berterusan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kepada SPRM dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salahguna kuasa di negara ini, amnya, dan di dalam arena pembangunan sukan bolasepak negara, khususnya.

“SPRM juga amat meyakini kepimpinan dan kewibawaan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dalam menerajui FAM, yang pastinya akan membawa perubahan dan kegemilangan kepada pembangunan sukan bola sepak negara,” kata kenyataan tersebut.

SHARE