SPRM sahkan Bahri memilih untuk bersara awal

Jan 3, 2017
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Bahri Mohamad Zain. - Gambar kredit Facebook Noor Haslina Abdullah.
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Bahri Mohamad Zain. – Gambar kredit Facebook Noor Haslina Abdullah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bahawa Pengarah Bahagian Operasi Khas Bahri Mohammad Zin telah memohon untuk bersara atas kehendaknya sendiri.

Permohonan itu dibuat enam bulan yang lalu.

Di dalam satu kenyataan, SPRM berkata permohonan tersebut adalah selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memerlukan pegawai kerajaan yang ingin bersara awal untuk membuat permohonan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh persaraan.

Persaraan Bahri berkuat kuasa 30 Disember, 2016.

Di dalam perkembangan berkaitan, SPRM berkata Bahri telah menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini, portal berita Free Malaysia Today melaporkan bahawa Bahri berkata beliau berasa amat berdosa kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Sinar Harian turut melaporkan perkara sama di mana Bahri dipetik sebagai berkata beliau tidak mahu berbohong dengan diri sendiri.

“Rasa amat berdosa kalau saya masih berkhidmat kerana agama kita secara jelas melarang kita untuk cenderong kepada kezaliman dan ketidakadilan…cenderong pun tidak boleh apatah lagi terus berkhidmat,” kata Bahri seperti dilapor Sinar Harian.

Isteri beliau Noor Haslina Abdullah memuat naik status di laman Facebooknya yang berbunyi, “Moga Allah melindungi suami saya.”

Artikel berkaitan:

Pengarah SPRM bersara awal kerana ‘kecewa’