SPR nafi PRU14 Oktober ini

 |Aug 2, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 pada Oktober tahun ini.

Menerusi satu kenyataan, SPR menjelaskan dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan boleh mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, SPR telah mengesan dakwaan tersebut di media sosial yang mula ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak semalam.

“Video yang tular itu adalah latihan simulasi oleh kakitangan SPR.

“SPR juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di laman media sosial untuk memastikan tidak ada sebarang pihak cuba mencemarkan reputasi SPR.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pengurusan tertinggi SPR bersedia untuk membuat laporan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya dikenakan tindakan undang-undang.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung satu video situasi kakitangan SPR yang mengumumkan tarikh PRU14.

Dalam video berdurasi 39 saat itu mengumumkan tarikh mengundi awal pada 11 Oktober 2017 dan tarikh mengundi adalah pada 13 Oktober 2017.

Bagaimanapun, SPR menjelaskan video tersebut adalah sebagai latihan kepada kakitangan SPR bagi menghadapi PRU nanti. – MO

SHARE