Sos Cili Royal Pedas, halal atau tidak?

 |Aug 3, 2017

KUALA LUMPUR: Kemunculan pelbagai jenama makanan di pasaran meningkatkan pilihan bagi pengguna untuk memilih produk yang ingin dibeli.

Namun lambakan produk-produk di pasaran juga membuka ruang bagi isu-isu lain, antaranya persoalan samada sesuatu produk itu memiliki sijil halal yang sah atau sebaliknya.

Bagi Sos Cili Royal Pedas, Malaysia Outlook difahamkan bahawa timbul keraguan berkenaan status halal yang didakwa dimiliki syarikat pembekal sos tersebut, iaitu RS Majestic Sdn Bhd.

Semakan Malaysia Outlook di sebuah kedai di Petaling Jaya yang menjual Sos Cili Royal Pedas mendapati terdapat logo halal diletakkan pada label botol sos tersebut.

Apabila semakan dibuat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), RS Majestic serta Sos Cili Royal Pedas tidak tersenarai sebagai memiliki sijil halal Jakim.

Malaysia Outlook seterusnya mendapatkan penjelasan dari Pengarah RS Majestic, Ramesh Rao yang memberi gambaran lebih jelas tentang sijil halal sos cili keluaran syarikatnya.

Dari penjelasan yang diberikan Ramesh Rao, difahamkan Sos Cili Royal Pedas tidak dikilangkan oleh RS Majestic.

Ini adalah sebab mengapa carian bagi RS Majestic dan Sos Cili Royal Pedas dengan Jakim menunjukkan kedua-duanya tidak tersenarai sebagai memiliki sijil halal.

Menurut Ramesh Rao, Sos Cili Royal Pedas dikilangkan oleh JCS Food Industries yang beralamat di Bukit Beruntung, Selangor.

Semakan di portal direktori Halal Jakim mendapati JCS Food Industries memiliki sijil halal yang sah sehingga 2019.

JCS Food Industries diberikan sijil halal untuk pembuatan enam jenis sos cili.

Ramesh turut berkongsi sijil pengesahan halal Jakim yang dimiliki oleh JCS Food Industries bersama Malaysia Outlook.

Beliau turut berkongsi surat yang dihantar oleh JCS Food Industries kepada Jakim untuk memaklumkan bahawa pihak mereka telah membekalkan Sos Cili Royal Pedas kepada gudang RS Majestic, bertarikh 27 Feb 2017.

JCS Food Industries juga memiliki perakuan pendaftaran dari Kementerian Kesihatan untuk menjalankan premis makanan yang terlibat dalam pengilangan makanan.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, keraguan mengenai kesahihan logo halal yang digunakan oleh Sos Cili Royal Pedas timbul kerana mereka tidak meletakkan nama pengilang pada label botol tersebut.

Ramesh Rao memberitahu Malaysia Outlook mereka telah pun dinasihati untuk berbuat demikian.

Sementara itu, sumber daripada Jakim menjelaskan kepada Malaysia Outlook bahawa RS Majestic ada membuat permohonan sijil halal namun masih dalam peringkat pemprosesan.

Kata sumber itu lagi, syarikat pengeluar produk tulen (OEM) perlu mendapatkan sijil halal sebelum produk dipasarkan kepada umum bagi menghindarkan dari kekeliruan.

Menurutnya, OEM boleh menggunakan logo halal yang dimiliki pengilang namun perlu diletakkan butiran pengilang pada produk tersebut.

Sekiranya OEM tersebut sudah memiliki sijil halal daripada Jakim, baru mereka berhak untuk menyembunyikan nama pengilang untuk tujuan promosi.

“Dalam kes Sos Cili Royal Pedas ini, pemilik selaku OEM perlu meletakkan nama pengilang dalam produk kerana mereka masih belum menerima sijil halal,” katanya. – MO