Siasatan terhadap Annuar tidak jejas Umno Kelantan, kata Mustapa

 |Feb 1, 2017
Gambar fail kredit Facebook Tan Sri Annuar Musa.
Gambar fail kredit Facebook Tan Sri Annuar Musa.

Penggantungan tugas Annuar Musa sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) serta siasatan yang dijalankan terhadapnya, tidak menjejaskan Umno terutama di Kelantan.

Malah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Mustapa Mohamed memuji tindakan Annuar yang juga ketua penerangan Umno dan ketua Umno Bahagian Ketereh, tidak cepat melatah dan akur dengan keputusan mesyuarat khas Majlis Mara semalam.

“Tan Sri Annuar Musa ambil tindakan bijak dengan akur terhadap keputusan yang dibuat semalam. Penggantungan yang dikenakan terhadap beliau juga tidak berkaitan dengan parti.

“Kami yakin perkara ini tak beri kesan kepada Umno Kelantan dan mesyuarat bulanan Badan Perhubungan Umno Kelantan yang akan diadakan pada masa terdekat juga tidak akan sentuh perkara ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Teraju dan Lantikan Program Akademik 2017 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Yaacob dan Naib Canselor UMK, Prof Mortaza Mohamed.

Mesyuarat khas Ahli Majlis Mara yang diadakan semalam menggantung jawatan Annuar sebagai pengerusi Mara dan pengerusi PMB yang berkuat kuasa serta-merta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula membuka kertas siasatan terhadap Annuar dan siasatan badan itu hanya tertumpu kepada isu rasuah serta salah guna kuasa berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Agensi antirasuah itu berkata, siasatan berhubung dakwaan salah tadbir urus pula akan dijalankan pasukan audit dalaman Mara.

Mengenai kenaikan harga minyak bagi Februari, Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, rasionalisasi subsidi penting dilakukan.

“Jika kerajaan teruskan dengan dasar lama, iaitu mengekalkan subsidi bagi sektor tenaga, ia akan menyebabkan kerajaan terus terbeban kerana terpaksa menanggung kos tinggi untuk subsidi semata-mata.

“Kami faham mungkin sukar untuk rakyat terima pengurangan subsidi ini kerana rejim subsidi ini dah lama dibuat, tetapi realitinya masih banyak barangan yang diberi subsidi,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan berupa perkakasan membuat kek dan roti bernilai RM200,000 kepada 32 peserta di bawah program ECERDC. – Bernama