Shahrir beri tumpuan kepada kebajikan peneroka Felda

 |Feb 1, 2017
Gambar fail kredit Facebook Shahrir Abdul Samad.
Gambar fail kredit Facebook Shahrir Abdul Samad.

Pengumuman pelantikan Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejurus selepas sambutan tahun baharu 2017 berjaya mencuri tumpuan pelbagai pihak.

Perhatian terarah kepada anggota Parlimen Johor Bahru itu dalam memulakan tugas dan tanggungjawab mengetuai agensi kerajaan persekutuan yang sering mendapat liputan media berikutan Felda kini dikatakan berdepan pelbagai isu melibatkan kepentingan peneroka di seluruh negara.

Tidak hairanlah apabila Shahrir, 66, dalam ulasan pertamanya memikul jawatan barunya itu berikrar untuk menjaga dan menjamin kepentingan 112,000 peneroka dan memperkasakan peranan serta fungsi Felda.

“Saya minta pada pihak pengurusan untuk tumpu tanggungjawab asal. Kita kena perhebatkan lagi perhatian kita, bantuan kepada kebun-kebun peneroka, kerana kebun-kebun ini yang menjadi punca pendapatan mereka,” kata Shahrir mengenai fokusnya selepas ini.

Shahrir berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementerian selain pernah menyandang jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Berikut adalah antara sedutan temu bual eksklusif Bernama bersama Shahrir yang berlangsung di pejabatnya di Menara Felda di sini baru-baru ini.

BERNAMA: Felda kini terpaksa menangani pelbagai isu dan persepsi negatif. Bagaimana agensi ini merancang untuk menanganinya?

SHAHRIR: Saya tengok masalah Felda ini adalah lebih kepada persepsi dan salah faham, sehingga ramai orang tidak boleh membezakan antara Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham, dan Felda sebagai sebuah badan pihak berkuasa iaitu lembaga yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen. Jadi ada salah faham dan kekeliruan, bukan sahaja di peringkat peneroka tetapi juga pemimpin dunia perniagaan.

Contohnya, saya berjumpa dengan kenalan seorang ahli perniagaan yang berpengetahuan tinggi (dalam dunia perniagaan). Dia marah pada FGV, katanya ‘Apa pasal FGV beli hotel di London?’ Saya jawab “sebenarnya bukan FGV yang beli (sebaliknya) yang beli hotel di London itu adalah Felda melalui anak syarikatnya”.

Maknanya orang yang sepatutnya mempunyai kefahaman dari segi dunia perniagaan, kedudukan yang agak kukuh dan tinggi dalam masyarakat perniagaan Malaysia pun boleh keliru dan tidak faham, dan tak boleh membezakan di antara Felda dan juga FGV. Tanggungjawab kita adalah menjelaskan sebelah mana FGV, dan sebelah mana Felda. Saya menjadi Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi FGV.

FGV merupakan syarikat awam tersenarai di Bursa Saham, jadi kenalah mematuhi segala keperluan urus tadbir Bursa Saham sebagai sebuah syarikat awam. Di peringkat Felda pula kita mesti mengikut akta dan bergerak mengikut kehendak Akta Felda itu sendiri. Sambil itu, Felda mempunyai anak-anak syarikat kerana Felda mempunyai kuasa untuk menubuhkan anak-anak syarikat. Jadi anak-anak syarikat itu harus dikawal, diuruskan oleh Lembaga Felda ataupun oleh pihak Felda.

BERNAMA: Bagaimanapun sebagai pemegang saham terbesar, Felda tidak boleh memisahkan diri daripada FGV?

SHAHRIR: Tentunya sebagai pemegang saham yang terbesar dalam FGV, kita nak melihat FGV berjaya. Ia boleh bergerak maju, boleh menguruskan perniagaan dengan baik. Tetapi ia masih menjadi badan yang berbeza. Felda tidak boleh mencampuri urus tadbir FGV kerana FGV sebuah syarikat yang mempunyai peraturan dan kaedah-kaedahnya yang tersendiri. Felda memegang kepentingan saham terbesar dalam FGV, sudah tentu kita mempunyai kepentingan di mana kepentingan itu ialah untuk kita melihat supaya FGV maju dari segi segala urusannya.

BERNAMA: Adakah ini bermakna Felda akan menjenamakan dirinya supaya rakyat akan melihat Felda dan FGV sebagai dua entiti berbeza, terutama dalam kalangan peneroka?

SHAHRIR: Ini perlukan kerja (penerangan) yang lebih, bermakna saya juga perlu bawa mesej ini ke bawah. Saya juga perlu jelaskan kepada peneroka dan masyarakat peniaga (perbezaan Felda dan FGV). Kalau pergi kepada laman web FGV, boleh tengok profil syarikat. Memang ada segala maklumat mengenai FGV dalam laman webnya. Sebagai peniaga dan rakyat yang berminat mengenai FGV, dia kena mula mencari maklumat tentang FGV.

Tanggungjawab kami di Felda adalah untuk menyampaikan penerangan itu secara berterusan. Saya melihat peranan Felda macam tidak memberi perhatian kepada asas perniagaannya yang dulu. Saya minta pihak pengurusan untuk tumpu tanggungjawab asal. Kita kena perhebatkan lagi perhatian kita, bantuan kepada kebun-kebun peneroka, kerana kebun-kebun peneroka ini yang menjadi punca pendapatan kepada peneroka. Kalau kita katakan peranan pekebun dan peneroka sebagai ekonomi luar bandar, inilah dia. Sebenarnya, kita kena beri perhatian yang lebih jelas dan terkesan kepada kebun-kebun peneroka.

BERNAMA: Adakah maksudnya (tujuan penubuhan Felda) sudah tersasar daripada yang asalnya?

SHAHRIR: Kerana orang lebih fokus kepada penyenaraian FGV, semua mungkin terkeliru. Apa yang berlaku ialah apabila Felda melepaskan FGV, FGV mengambil alih tanah Felda Plantation, yang dulu ladang Felda yang tiada peneroka seperti ladang-ladang sawit yang lain. Jadi ladang Felda itu telah dipajakkan kepada FGV dengan pembayaran sebanyak RM250 juta setahun, dan 15 peratus daripada keuntungan hasil ladang itu.

Jadi, dulu kita nampak Felda ini ada peneroka, ada ladangnya, ada kegiatan downstreamnya (hiliran) iaitu kilang-kilang penapis dan pengangkutan, dan juga perniagaan-perniagaan yang lain. (Sekarang) semua itu telah dipindahkan kepada FGV. Yang tinggal di Felda adalah peneroka, itu sahaja dan tentunya tanggungjawab sosial dan kebajikan yang ada kaitannya dengan peneroka. Jadi jika kita lihat selepas adanya pemisahan di antara FGV dan Felda, sebenarnya Felda tinggal peneroka sahaja…. satu suasana yang mungkin adanya kekeliruan.

Bukan nak kata ada kesalahan di mana-mana (pihak), tetapi seperti kehilangan fokus, maklumlah sewaktu menyenaraikan (FGV) itu juga bermacam-macam perkara berlaku macam drama, seperti pengarah besar bertukar, soal Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd dan macam-macam lagi.

Bila berlaku drama seperti ini, telah membawa kepada keadaan mungkin kita terlepas pandang. Sedangkan sebenarnya, Felda hanya tinggal dengan 112,000 peneroka dan keluarga mereka. Begitu juga dengan masalah sebagai sebuah organisasi yang sudah berusia 60 tahun, tentunya ada generasi yang kedua dan seterusnya. Tambah lagi Felda sebagai satu komuniti dan juga masyarakat, sudah tentu ada soal-soal sampingan yang berlaku.

Sekiranya kita berbalik semula kepada soal Felda yang menjaga peneroka, maknanya kita perlu fokus kepada kebun peneroka-peneroka dan juga soal-soal yang bersangkut-paut dengan generasi kedua peneroka Felda.

Selain itu, kita juga harus tentukan kita mempunyai keupayaan untuk membiayai aktiviti-aktiviti ini kerana dulu kita mempunyai ladang-ladang Felda yang memberi hasil kepada Felda. Sekarang kita tinggal apa yang diwujudkan iaitu Felda Investment Corporation, sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan untuk menghasilkan pendapatan tambahan kepada Felda sendiri. – Bernama

SHARE