Sepintas lalu: PRK Tanjong Datu

 |Feb 10, 2017
PRK Tanjung Datu akan diadakan pada 18 Februari. - Gambar fail kredit The Rakyat Post.
PRK Tanjung Datu akan diadakan pada 18 Februari. – Gambar fail kredit The Rakyat Post.

Dua pusat pengundian awal akan dibuka untuk pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu Ahad ini, iaitu Dewan Masyarakat Lundu di kampung Sungai Lundu dan Dewan ULS Kem Sampadi dengan masing-masing menyediakan satu tempat atau saluran mengundi.

Ia merupakan dua daripada 18 pusat mengundi yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan 9,959 pengundi di kawasan Dun Tanjong Datu memilih wakil mereka.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandang yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan dan berikut adalah beberapa angka yang berkaitan PRK ini yang dikongsi SPR dengan Bernama.

Seramai 188 pemilih, atau 1.9 peratus daripada 9,959 pemilih berdaftar bagi PRK ini adalah dari kalangan pemilih awal yang akan mengundi di dua pusat pengundian awal Ahad ini, manakala 9,771 lagi akan mengundi di 16 pusat mengundi yang menyediakan 25 tempat (saluran) pada 18 Februari ini.

Berdasarkan statistik yang dikemas kini sehingga 11 Januari lalu, 4,996 atau 50.17 peratus adalah dari kalangan pemilih lelaki manakala 4,963 atau 49.83 peratus adalah wanita.

Menurut SPR, pemilih paling ramai adalah di daerah mengundi Lundu berjumlah 1,906 manakala paling sedikit daerah Perigi dengan 171 pemilih, diikuti Telok Melano 172.

Dari sudut peratusan umur pemilih pula, 12.25 peratus daripada pemilih adalah terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun, manakala 19.8 peratus berumur antara 30 dan 39 tahun, dan 22.23 peratus berumur antara 40 dan 49 tahun.

Sebanyak 21.63 peratus adalah pemilih yang berumur antara 50 dan 59 tahun, manakala 13.94 peratus berumur antara 60 dan 69 tahun, 6.97 peratus lagi berumur antara 70 dan 79 tahun, dan 2.72 peratus berumur antara 80 dan 89 tahun.

Seramai 46 orang pemilih di PRK ini berumur lebih daripada 90 tahun, dengan 11 daripada mereka berada dalam daerah mengundi Lundu; lapan di Rambungan; masing-masing empat di Seling dan Stoh; masing-masing tiga di Sematan, Stunggang, dan Sekambal; masing-masing dua di Perigi, Kampung Sebemban, dan Temelan; serta masing-masing satu di Telok Melano, Sebat, Bajo, dan Sampadi.

Tanggal 18 Feb ini akan menyaksikan semua 16 pusat mengundi akan dibuka seawal 8 pagi, namun empat daripadanya akan ditutup 12 tengah hari, manakala empat lagi pada 1 tengah hari, lima ditutup pada 4 petang, dan tiga lagi ditutup pukul 5 petang.

Pusat penamaan calon, pusat penjumlahan undi, dan pusat pengiraan undi, ditetapkan di Dewan Masyarakat Lundu, manakala Pegawai Daerah Lundu Hamsien Atar dilantik sebagai Pengurus Pilihan Raya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengikut statistik April 2016, 53.2 peratus daripada pemilih Dun Tanjong Datuk adalah dari kaum Melayu, manakala 18.9 adalah dari kaum Iban, 17.6 peratus kaum Cina, 9.8 peratus kaum Bidayuh, dan 2.3 peratus pelbagai kaum lain.

Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah dalam satu persidangan media pada hari penamaan calon 4 Februari lepas berkata keputusan mengenai PRK Tanjong Datu ini dijangka boleh diperoleh seawal 8 malam. – Bernama

SHARE