Senarai calon MCA PRU14 di peringkat akhir penilaian

 |Aug 1, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan senarai calon parti tersebut kini di peringkat akhir penilaian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Menurutnya, parti tersebut sudah melakukan persediaan rapi dengan mengenal pasti calon yang berkualiti di semua peringkat cawangan, bahagian dan kepimpinan tertinggi MCA.

“Kita telah buat banyak persediaan dari segi calon yang sesuai dan mengadakan soal selidik dengan orang awam sebelum satu keputusan dibuat.

“Kita perlu memastikan rakyat memahami agenda transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan serta boleh menerima calon kami untuk diketengahkan sebagai mewakili mereka dan bertanding pada PRU-14 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Festival Kesenian Blossom Malaysia 2017 yang akan bermula hari in hingga 31 Ogos ini di Wisma MCA, Jalan Ampang.

Turut sama pada majlis perlancaran tersebutTimbalan Presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA juga tidak akan mempunyai perubahan pada kerusi tradisional yang dimiliki selama ini menjelang PRU-14 kali ini.

“Setakat ini tidak ada perubahan daripada segi kerusi tradisional yang dimiliki MCA,” katanya.

Beliau turut menjelaskan MCA bersama komponen BN akan menyampaikan agenda pembangunan rakyat yang dibawa kerajaan.

Menurutnya, BN sangat serius dalam mendahulukan rakyat dan menjelaskan akan membongkar rahsia pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat menghadapi kehancuran seperti Pakatan Rakyat kerana masih tidak bersepakat dan bersatu seperti konsensus BN.

Jelasnya, Pakatan Harapan yang dibentuk hari ini tidak relevan dan boleh bercerai pada bila-bila masa sahaja. – MO

SHARE