Sekolah tutup kerana banjir tidak perlu ganti

Jan 5, 2017
Keadaan sebuah sekolah di Kelantan yang dilanda banjir. - Gambar kredit Facebook Media Mahdzir Khalid.
Keadaan sebuah sekolah di Kelantan yang dilanda banjir. – Gambar kredit Facebook Media Mahdzir Khalid.

Sekolah yang ditutup akibat banjir tidak perlu mengganti hari persekolahan kerana ia dianggap sebagai Cuti Darurat Kecemasan Banjir, kata Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebanyak 72 sekolah di Kelantan dan Terengganu ditutup akibat banjir.

Daripada jumlah itu, 38 sekolah turut dijadikan usat Pemindahan Sementara (PPS), katanya kepada pemberita semasa melawat Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini yang dijadikan PPS.

Mahdzir berkata kira-kira 15,000 pelajar di Kelantan dan Terengganu terjejas akibat bencana banjir yang berlaku sejak Ahad lepas dan berdasarkan keadaan cuaca yang baik, sekolah yang ditutup itu mungkin boleh dibuka semula minggu hadapan.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri di dua negeri terbabit perlu membuat laporan segera untuk proses membaik pulih perabot, kerusi meja serta alat pendawaian sekolah yang rosak.

“Kementerian akan memberi peruntukan segera bagi membaiki segala kerosakan yang dialami,” katanya. – Bernama