Sejauh mana personaliti Pakatan Harapan dapat menarik sokongan rakyat?

 |Jul 14, 2017
Gambar kredit Facebook Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR: “Senarai baru ini memperlihatkan kepimpinan lama tetapi perkara yang menimbulkan persoalan adalah sejauh mana mereka ini dapat menggunakan personaliti masing-masing untuk menarik sokongan ahli dan rakyat.”

Ini pendapat Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian apabila diminta mengulas barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang baru diumumkan malam tadi.

Menurutnya, cabaran besar kepimpinan Pakatan Harapan yang baru ini adalah mahu menunjukkan keunikan mereka daripada kepimpinan sebelum ini.

Jelasnya, senarai mereka yang dipilih kali ini tidak disertai dengan ahli daripada parti PAS dan diganti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) yang dilihat mampu mengukuhkan sokongan di antara PKR, DAP dan Amanah.

Sivamurugan berkata, kekurangan ahli DAP dalam senarai kepimpinan baru mungkin disebabkan masalah parti itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Atau juga DAP mungkin mengambil masa dengan mahu melihat maklum balas daripada ahli dan penyokong mengenai senarai kepimpinan baru ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Beliau tidak menolak kemungkinan struktur kepimpinan Pakatan Harapan ini akan berubah kerana menganggap ia tidak bersifat kekal.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baru yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum), dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden Pakatan Harapan.

Pakatan turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Pribumi), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) sebagai timbalan presiden. – MO