Saya tiada bukti ketika itu, kata Tun Mahathir

 |Aug 2, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tidak memilik bukti ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan aset kepadanya lebih dua dekad lalu.

Menurutnya, walaupun timbul keraguan mengenai sumber kekayaan Ahmad Zahid pada ketika itu, namun beliau tidak mempunyai bukti.

“Pada masa itu dia (Ahmad Zahid) bagi laporan mulut kepada saya, saya tidak ambil berat perkara itu.

“Dia bagi penerangan kononnya hasil perniagaan, walaupun saya was-was, saya tiada bukti pada ketika itu.

“Sekarang ini patut dia jawab dari mana dia dapat wang yang sebegitu banyak, peniaga pun tak ada duit sebanyak itu, saya pun tak tengok duit sebanyak itu,” dakwa Mahathir ketika ditemui pemberita di luar Istana Negara di sini, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahannya menerusi catatan di blog semalam mengenai pengisytiharan harta yang dibuat Ahmad Zahid selepas dilantik sebagai Pemuda Umno pada 1996.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Ahmad Zahid gagal memberikan jawapan yang jelas berhubung wang RM230 juta di dalam akaunnya. – MO