Saya hanya bantu siasatan SPRM, kata Idris Haron

Jan 10, 2017
Idris Haron berkata bantuan yang diberi adalah berdasarkan bidang kuasanya selaku ketua menteri. - Gambar fail kredit Facebook Idris Haron.
Idris Haron berkata bantuan yang diberi adalah berdasarkan bidang kuasanya selaku ketua menteri. – Gambar fail kredit Facebook Idris Haron.

Ketua Menteri Melaka Idris Haron menjelaskan beliau hanya membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa pegawai kerajaan negeri dan siasatan itu tiada kaitan dengan dirinya.

Beliau berkata bantuan yang diberi adalah berdasarkan bidang kuasanya selaku ketua menteri.

“(Anggota SPRM) datang sempurnakan siasatan beberapa kes yang berlaku sebulan setengah yang lalu.

“Takkan siasat saya, kalau siasat saya lain macam (cara) dia (anggota SPRM) datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Menteri 2017 dan pelancaram Pusat Komersil Hang Tuah Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Idris mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kehadiran anggota SPRM di pejabatnya semalam bagi merakam kenyataan berhubung siasatan terhadap pegawai yang ada kaitan dengan Pejabat Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Idris berkata beliau sentiasa terbuka dan sedia memberi kerjasama penuh dalam apa juga siasatan yang dilakukan pihak berkuasa demi meningkatkan integriti kerajaan negeri.

“Ini integriti kita. Mana-mana pegawai yang mengamalkan rasuah di negeri Melaka ini tidak ada tempat dan akan rasa panas,” katanya. – Bernama

SHARE