Satu lawan satu: Annuar dalam tempoh ‘bertenang’ daripada keluarkan kenyataan

 |Feb 14, 2017
Gambar fail kredit Facebook Tan Sri Annuar Musa.
Gambar fail kredit Facebook Tan Sri Annuar Musa.

Calon bagi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Annuar Musa berhasrat untuk “bertenang” daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pemilihan tersebut.

Pemilihan jawatankuasa baharu badan induk bola sepak negara bagi penggal 2017-2021 akan diadakan semasa Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Annuar dalam entri Facebooknya berkata tempoh “bertenang” itu bagi memastikan keharmonian suasana pemilihan terjamin daripada sebarang rasuah dan seterusnya melahirkan keadaan harmonis, bersih, berintegriti, terbuka dan penuh semangat kesukanan.

“Dengan ini saya berhasrat ingin meminimakan ulasan dan kenyataan sekurang-kurangnya 2 minggu sehingga saya selesai mengerjakan umrah. Saya bersyukur melihat FAM bakal dipimpin oleh mereka yang betul-betul berminat dan sukarela berbakti dan bukannya proksi atau atas kehendak orang lain.

“Semua calon ternyata mempunyai rekod sebagai aktivis bola sepak tanah air dengan kelebihan masing-masing dan ini menjanjikan sesuatu yang positif bagi sukan bola sepak negara,” katanya.

Annuar yang mengesahkan pencalonannya pada 6 Feb lepas akan merebut kerusi panas jawatan presiden FAM dalam pertembungan satu lawan satu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut mengesahkan pencalonan pada Isnin.

Dua lagi calon yang dinamakan sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat, tidak mengesahkan pencalonan mereka sehingga tempoh pencalonan ditutup petang semalam.

Khairy sebelum ini berkata beliau akan menarik diri sekiranya TMJ membuat keputusan bertanding.

Mengulas lanjut, Annuar mengakui mentadbir sebuah badan induk bola sepak negara tidak seperti menguruskan sebuah pasukan bola sepak negeri apabila seorang pemimpin itu memerlukan kerjasama berkumpulan bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya FAM bukan hanya melibatkan pasukan Harimau Malaysia dan ranking dunianya semata-mata, tetapi ia bertanggungjawab kepada kemajuan, antara lain, futsal, bola sepak wanita, bola sepak pantai, pengurusan Liga Malaysia, Liga Rakyat, pembangunan teknikal dan kejurulatihan, pengadil, kelab penyokong dan penajaan.

Berdasarkan pemerhatian pada Isnin, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Rozabil Abdul Rahman dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Subahan Kamal, merupakan 2 calon jawatan timbalan presiden yang hadir ke Wisma FAM untuk mengesahkan pencalonan.

Turut dicalonkan bagi jawatan itu ialah Timbalan Presiden FAM sedia ada, Afandi Hamzah; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM Hamidin Mohd Amin; dan 3 calon lain.

Pemilihan semula barisan kepimpinan FAM itu diadakan susulan keputusan presidennya, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletak jawatan berikutan prestasi hambar skuad Harimau Malaysia. – Bernama

SHARE