Sarawak larang kemasukan Selva Kumar

 |Feb 8, 2017
Selva Kumar Subbiah - Gambar kredit Toronto Star / Steve Russell.
Selva Kumar Subbiah. – Gambar kredit Toronto Star / Steve Russell.

Sarawak mengikut jejak Sabah mengharamkan kemasukan bekas banduan perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah ke negeri itu.

Pengarah Imigresen Sarawak Ken Leben berkata pihak berkuasa negeri mengarahkan jabatan itu menghalang kemasukan Selva Kumar berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, beberapa pemimpin negeri dan parti menggesa kerajaan negeri mengenakan larangan itu.

Mereka termasuk Timbalan Ketua Menteri James Jemut Masing; Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Fatimah Abdullah; Naib Presiden Wanita PKR Voon Shiak Ni dan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak Sebastian Ting Chew Yew.

Selva Kumar pulang ke Malaysia semalam setelah menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada kerana melakukan 19 kesalahan serangan seksual, 28 kesalahan menggunakan bahan berbahaya, 10 kesalahan melakukan pelbagai serangan dan berbelas kesalahan lain. – Bernama