RUU kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 mercu tanda perundangan

 |Mar 29, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam merupakan mercu tanda perundangan dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak.

Justeru, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Lee Lam Thye berharap semua rakyat menyokong pembentangan RUU itu kerana ia adalah penting untuk menangani eksploitasi dan kekejaman seksual terhadap golongan berkenaan.

“Undang-undang yang dicadangkan ini hanya dapat dilaksanakan dengan baik jika semua pihak dalam komuniti memberi sokongan.

“Mereka juga perlu memainkan peranan membantu pihak berkuasa menahan dan mendakwa pelaku kesalahan di mahkamah khas untuk kes sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata sokongan yang diberikan oleh anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang juga membuktikan mereka boleh bekerjasama dan menjadi peneraju kepada usaha seumpama itu pada masa akan datang, selain memberi faedah kepada masyarakat.

Katanya jenayah kanak-kanak sangat berleluasa dan wujud sekian lama disebabkan kelemahan undang-undang untuk menanganinya secara berkesan.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa untuk memberikan publisiti menyeluruh mengenai undang-undang itu apabila ia diluluskan kelak.

RUU itu, yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, memperuntuk kesalahan dan hukuman termasuk pornografi kanak-kanak, pengantunan, amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal.

Mengikut RUU tersebut, mana-mana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. – Bernama