RUU kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dibentang di Parlimen

 |Mar 28, 2017
Gambar kredit Facebook Gooi Hsiao Leung.

Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang bertujuan melindungi dan menjaga kebajikan kanak-kanak di Malaysia, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu, yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, memperuntuk kesalahan dan hukuman termasuk pornografi kanak-kanak, pengantunan, amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal.

Mengikut RUU itu, mana-mana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Individu yang mengakses atau mempunyai dalam milikan dan kawalannya apa-apa pornografi kanak-kanak pula boleh dihukum selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

RUU itu juga menyebut individu yang melakukan kesalahan amang seksual fizikal boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, membuatkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian orang itu atau melakukan kontak fizikal dengan kanak-kanak tanpa persetubuhan. – Bernama

SHARE