Rundingan penurunan kuasa kemuncak kepimpinan Adenan

 |Jan 12, 2017
Gambar fail Wikipedia.
Gambar fail Wikipedia.

Rundingan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak dilihat sebagai kemuncak kepada kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Adenan Satem yang meninggal dunia semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.24 tengah hari di Institut Jantung Kota Samarahan, Sarawak, berikutan komplikasi jantung.

Rundingan antara beliau dan Perdana Menteri Najib Razak itu mula dijalankan pada 20 Jan tahun lepas, disusuli dengan rundingan kedua pada 4 Julai tahun yang sama.

Rundingan pertama menyaksikan 13 perkara dipersetujui oleh kerajaan persekutuan berkaitan penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri.

Hasil rundingan kedua pula menyaksikan Adenan memperincikan keputusan kerajaan Sarawak berhubung penurunan kuasa pentadbiran selanjutnya dan perwakilan kuasa.

Dalam kenyataannya pada sidang media semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Kuching, pada Julai tahun lepas, Adenan menyatakan kegembiraannya berikutan sambutan positif kerajaan persekutuan semasa mesyuarat tersebut.

Menurutnya Najib mencadangkan supaya beliau menubuhkan jawatankuasa pegawai persekutuan, antaranya dianggotai peguam, Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri Sarawak untuk membantu dari segi undang-undang serta perlembagaan.

Sementara itu mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata perkara tersebut kini dalam proses rundingan terakhir.

“Bagaimanapun, kedua-dua fasa itu (yang telah dijalankan) hanyalah fasa rundingan tetapi pelaksanaan masih belum lagi dilakukan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Menyatakan pemergian Ketua Menteri itu sebagai satu kehilangan yang amat besar buat negara dan Sarawak khususnya, Awang Azman menyifatkan Allahyarham Adenan sebagai ‘Bapa Autonomi Sarawak’.

Beliau berkata antara sumbangan dasar Adenan yang melakar peristiwa penting dalam kepimpinannya adalah mengenai autonomi Sarawak dalam pelbagai aspek termasuk sumber asli, perundangan dan pendidikan sosial sejak beliau mengambil alih kepimpinan negeri itu dua tahun lepas.

“Allahyarham juga adalah Bapa Perpaduan Negeri Sarawak. Beliau telah menyatukan seluruh rakyat Sarawak sehingga pembangkang turut bersetuju dengan sikap dan dasar yang dibawanya.

“Sumbangannya kepada Sarawak ialah beliau telah menyedarkan rakyat di negeri itu tentang hak mereka yang perlu disuarakan, sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963,” jelasnya.

Allahyarham Adenan mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb 2014 daripada Abdul Taib Mahmud yang meletakkan jawatan tersebut pada 12 Feb tahun yang sama. – Bernama

SHARE