Rujuk Jamal ke Tanjung Rambutan, kata Zuraida

 |Feb 3, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.
Gambar fail kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menyarankan pihak polis untuk merujuk Jamal Md Yunos ke ‘Tanjung Rambutan’.

Di dalam satu kenyataan hari ini, Zuraida yang membuat cadangan tersebut berkata ia adalah untuk memeriksa tahap kewarasan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu.

Tanjung Rambutan merupakan frasa yang sinonim dengan Hospital Bahagia dan sering digunakan untuk merujuk kepada tempat di mana pesakit mental mendapatkan rawatan.

“Saya mengesyorkan pihak polis merujuk Jamal Yunos utk pemeriksaan kewarasan di Tanjung Rambutan dan melindungi keselamatan orang awam daripada ancaman beliau,” kata Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang.

Dalam pada itu, Zuraida memuji tindakan pihak polis yang telah menahan Jamal dan beberapa ahli kumpulannya atas dakwaan merompak semasa mereka bertindak ‘menyerbu’ beberapa premis judi yang didakwa haram di Selangor.

“Jamal Yunos yang berkelakuan tidak waras telah mencetuskan gangguan pada masyarakat am,” katanya lagi.

Sejak kebelakangan ini, Jamal dilihat melakukan pelbagai aksi termasuk hadir di luar pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dengan bertuala untuk mengangkat isu gangguan air.

Selain dari itu, Zuraida berkata pihak polis perlu melanjutkan siasatan mereka berhubung dakwaan bahawa pusat hiburan keluar yang digunakan sebagai pusat perjudian haram.

“Permit majlis tempatan tidak membenarkan perjudian haram dan saya melihat perkara ini dengan serius. Jika di semua tempat ini sedang disalahgunakan untuk maksiat, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengetatkan kawalan ke atas aktiviti-aktiviti tersebut.”

Namun beliau berharap penahanan Jamal akan menjadi peringatan kepada masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya.

“Walaupun pihak polis sekalipun harus mengikut prosedur yang betul sebelum melaksanakan sebarang serbuan tanpa pengecualian.

“Orang awam seperti Jamal harus serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan ke atas apa-apa aduan. Terdapat saluran yang betul untuk menangani perkara-perkara seperti ini dan saya percaya pihak polis peka terhadap aktiviti-aktiviti sedemikian.

“Jika polis menutup mata kepada aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang, maka kita perlu mengetahui sebab musababnya,” kata Zuraida.