Rosmah kecam berita palsu

Jan 17, 2017

 

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah mengecam berita palsu yang tersebar di internet, kononnya beliau telah menandatangani satu cek sebagai “Eric Tan” yang dikaitkan dengan kes jenayah di Singapura membabitkan bekas pengurus cawangan Falcon Bank, Jens Fred Sturzenegger.

Semakan peguam Rosmah, Noorhajran Mohd Noor ke atas pernyataan dikeluarkan Pejabat Peguam Negara Singapura membuktikan berita palsu tersebut sememangnya langsung tidak disokong dengan sebarang fakta.

“Ini satu tuduhan serius yang bertujuan membuat representasi dan menerbitkan fitnah untuk mencemar nama, atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa tohmahan itu akan merosakkan reputasi dengan niat jahat untuk merendahkan dan menjejaskan kredibiliti Rosmah sebagai isteri perdana menteri,” kata Noorhajran dalam satu kenyataan hari ini.

Noorhajran juga membuat penjelasan mengenai satu gambar Rosmah dengan keterangan “Big Momma sighted in Claremont Quarter in Perth – one bodyguard and two personal maids tagging along” yang tersebar di media sosial.

Peguam tersebut mengesahkan bahawa individu-individu yang ada dalam gambar tersebut merupakan rakan-rakan Rosmah dan bukan pembantu rumah beliau.

Noorhajran menegaskan bahawa keterangan palsu yang membuat andaian bahawa rakan-rakan Rosmah merupakan pembantu peribadi beliau sesungguhnya “menjijikkan, menghina dan memalukan mereka.”

“Jelas sekali penulis dan/atau blogger berkenaan tidak mempunyai apa-apa fakta yang boleh dipercayai dan pengetahuan penuh berkaitan kehidupan peribadi Rosmah.

“Tuduhan dan kenyataan salah dibuat blogger dan pengamal media sosial ini satu pembohongan kepada orang awam yang sengaja direka untuk membuat dan membentuk pendapat palsu serta mengelirukan,” katanya.

Noor Hajran merujuk kepada gambar yang muncul tidak lama selepas diketahui Najib dan keluarganya menghabiskan cuti hujung tahun mereka di Australia.

Kata peguam itu, pengedaran gambar berkenaan menyebabkan “ruang peribadi tidak rasmi Rosmah diceroboh dengan keterlaluan”.

Beliau juga merujuk kepada beberapa keputusan dibuat Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang menekankan prinsip-prinsip kebebasan bersuara.

Mahkamah Eropah itu menyedari manfaat yang diperoleh melalui internet ketika mengamalkan hak kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, mahkamah tersebut juga menekankan bahawa liabiliti menghadapi tindakan undang-undang kerana fitnah dan pelbagai kenyataan palsu harus, secara prinsipnya, dikekalkan sebagai satu hindaran mujarab terhadap pencabulan hak peribadi dalam mencemarkan nama baik and reputasi seseorang.

SHARE