‘Reunion’ Afdlin dan Acid Iz di Comedy Planet

 |Jan 18, 2017
Afdlin Shauki menghiburkan penonton di Comedy Planet minggu lalu. - Gambar kredit Farah Harith.
Afdlin Shauki menghiburkan penonton di Comedy Planet minggu lalu. – Gambar kredit Farah Harith.

Siapa tidak kenal Afdlin Shauki? Pelakon, pelawak dan juga pengarah filem. Namun tulisan hari ini bukanlah untuk menceritakan perjalanan seni industri perfileman dan televisyen beliau yang sememangnya sudah diketahui ramai.

Ulasan yang penulis ingin catitkan di sini adalah berkisar tentang cinta Afdlin terhadap seni musik. Pasti ramai yang mengetahui Afdlin sebenarnya juga berbakat sebagai seorang penyanyi dan komposer. Pada awal tahun 90an, Afdlin diberikan kepercayaan berganding bersama ratu jazz Sheila Majid merakamkan lagu Pagi untuk album kompilasi Ikhlas terbitan Roslan Aziz Productions (RAP).

Lagu tersebut yang merupakan lagu asal penyanyi Indonesia Harvey Malaiholo baru-baru ini berkumandang sekali lagi secara ‘live’. Bezanya, kali ini Afdlin menyanyikan lagu tersebut secara solo, diiringi kumpulan Acid Iz.

Walaupun tiada Sheila, masih terdapat sedikit ‘connection’ kerana suami ratu jazz tersebut Acis adalah salah seorang ahli kumpulan Acid Iz.

Acis atau nama sebenarnya Hashridz Murshim Hassim bermain keyboard, dan disertai Aji (gitar), Pacai (bass) dan Fendi (dram).

Bagi yang mengenali kombinasi hebat Afdlin dan Acid Iz, persembahan itu pasti mengembalikan nostalgia, kenangan semasa tahun 90an serta awal tahun 2000.

Bertempat di Comedy Planet, Great Eastern Mall di Jalan Ampang pada Jumaat dan Sabtu lalu, Afdlin dan Acid Iz bersatu kembali di atas pentas untuk persembahan istimewa dua malam yang diberi nama ‘Standing Up Singing’.

Antara yang menjadikan persembahan itu sangat istimewa adalah kerana ia merupakan ‘reunion’ bagi mereka yang sudah sekian lama tidak beraksi bersama di atas pentas yang sama.

Persembahan mereka juga sedikit unik kerana selain peminat melayan alunan suara Afdlin mendendangkan muzik genre r&b, mereka turut terhibur bergelak ketawa dengan lawak jenaka Afdlin.

Apa yang jelas ialah kombinasi ‘stand up comedy’ dan nyanyian yang mungkin melahirkan idea ‘Standing Up Singing’ itu dilihat berjaya mencuri hati penonton yang hadir.

Afdlin, 45, turut menghiburkan penonton dengan lagu ciptaanya Mia Sara yang merupakan sebuah lagu dibuat khas untuk anak sulungnya. Lagu tersebut juga telah dimuatkan di dalam album runut bunyi filem Papadom lakonan Afdlin dan Liyana Jasmay.

Bercakap kepada penonton, Afdlin yang merupakan bapa kepada tiga anak ini berkata acara persembahan ‘live’ di Comedy Planet berkemungkinan diteruskan selepas ini dengan mengundang pelbagai artis lain.

Adalah menjadi harapan penulis dan mungkin juga ramai peminat nyanyian Afdlin yang lain untuk terus melihat penyanyi itu dan Acid Iz membuat persembahan bersama.

Antara rakan artis yang turut hadir menyaksikan persembahan Afdlin dan Acid Iz minggu lalu adalah Hans Isaac, Yasmin Yusof dan Ferhad.

Comedy Planet merupakan restoran berkonsep komedi yang diusahakan oleh Afdlin dan turut mempunyai cawangan di Johor.

SHARE
Farah Harith has been in the media industry since 2008. Her field of work has been predominantly centred on politics and human interest. She joined the industry to have a better grasp on the issues plaguing the masses.