Rayuan Anwar dan keluarga pada 18 Januari

Jan 4, 2017
Gambar fail kredit Facebook Anwar Ibrahim.
Gambar fail kredit Facebook Anwar Ibrahim.

Rayuan Anwar Ibrahim dan anggota keluarganya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan diraja atas sabitan meliwat, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 18 Januari ini, lapor Bernama.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Julai tahun lepas yang menolak permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan.

Peguam Anwar, Shahid Adli Kamarudin memberitahu pemberita 18 Januari ini telah ditetapkan bagi pendengaran rayuan itu.

Beliau berkata, pihak yang terlibat – Anwar dan responden, Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia – akan memfailkan penghujahan mereka hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Haryati Ahmad mewakili responden.

Perkara itu dibawa untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nur Yusliana Yusoff.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan Anwar pada 14 Disember tahun lepas untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Pada 24 Jun tahun lepas, bekas ketua pembangkang itu, isterinya Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah serta Nurul Nuha memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi beliau pada 16 Mac tahun yang sama.

Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung proses yang diambil dalam keputusan Lembaga Pengampunan, pada 15 Julai tahun lepas. – Bernama