Raja Kamarul Bahrin tuntut portal berita tarik balik artikel

Jan 10, 2017
Capaian skrin di atas menunjukkan gambar percutian Raja Kamarul Bahrin bersama isteri di London telah dimuatnaik pada Oktober 2016.
Capaian skrin di atas menunjukkan gambar percutian Raja Kamarul Bahrin bersama isteri di London telah dimuatnaik pada Oktober 2016.

Dikatakan bercuti di kota London semasa ‘ribuan penduduk di kawasannya sendiri ‘berduka’ di pusat penempatan sementara’, ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menuntut sebuah portal berita menarik balik artikel yang ditulis.

Di dalam laporan Free Malaysia Today hari ini, Raja Kamarul Bahrin menafikan dakwaan beliau bercuti bersama keluarga di London semasa negeri Terengganu dilanda banjir baru-baru ini.

Bercakap di sidang media, pemimpin Amanah Terengganu itu mendakwa laporan dibuat berkenaan percutiannya adalah berniat jahat untuk memburukkan namanya sebagai wakil rakyat dan ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Beliau turut mendakwa portal berita tersebut tidak menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu.

“Saya menuntut mereka menarik balik artikel tersebut dan membuat permohonan maaf,” beliau dipetik berkata oleh Free Malaysia Today.

Raja Kamarul Bahrin merujuk kepada artikel bertajuk ‘Wakil rakyat Amanah cuti mewah di UK abai mangsa banjir’.

Artikel tersebut mendakwa beliau telah bercuti ke London bersama isteri dan anaknya dan tidak kelihatan membantu meringankan beban mangsa banjir di Terengganu.

Bersama dengan artikel itu disertakan beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman Instagram isteri Raja Kamarul Bahrin, penyanyi Noryn Aziz.

Raja Kamarul Bahrin hari ini menjelaskan gambar tersebut diambil pada bulan Oktober lalu dan bukan semasa Terengganu dilanda banjir pada hujung tahun 2016 dan awal tahun 2017.

Semakan di laman Instagram @norynaziz menunjukkan gambar-gambar percutian di London bersama suaminya sememangnya dimuatnaik oleh penyanyi itu pada bulan Oktober 2016 dan bukan Disember 2016 atau Januari 2017.