#QalifModen: Tiket penerbangan kurang daripada RM50, AirAsia kata kelakar kan

 |Feb 14, 2017
Paparan skrin Twitter @AirAsia.
Paparan skrin Twitter @AirAsia.

Media sosial baru-baru ini kecoh membicarakan tentang buku pelakon Fattah Amin.

Bertajuk 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin, buku tersebut dijual dengan harga RM58 dan menampilkan gambar-gambar pelakon tersebut berserta tulisan ‘memberi semangat’.

Antara gambar isi kandungan buku tersebut yang dikongsi netizen, mengandungi kata-kata seperti, “Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking valet. Ternyata kini telah termakbul hahaa…kelakar kan.”

Ini mengundang kecaman netizen dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan membuat lawak mereka sendiri.

Antara yang turut bersama membuat ayat seakan-akan memerli buku tersebut adalah perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia.

Di dalam satu muat naik di Twitter, akaun rasmi AirAsia menulis: “Dulu selalu berangan nak naik kapal terbang dan nak bayar flight kurang daripada RM50. Ternyata kini telah termakbul hahaa.. kelakar kan.”

Rata-rata pengguna Twitter nyata terhibur dengan jenaka AirAsia tersebut.

Seorang pengguna Twitter @TiaraMeeta memuji mereka yang mengendalikan akaun tersebut dan berkata gaji mereka patut dinaikkan.

“To whoeve curating this account. Your boss should raise your salary. You’re pretty hilarious.”

AirAsia membalas Tweet @TiaraMeeta dengan berkata, “Lolol, asking him now. Hi @tonyfernandes, they said you should raise our salary, can ah boss?” (Hahah sedang bertanya pada dia sekarang. Hi Tony Fernandes, mereka kata gaji kami patut dinaikkan, boleh kah boss?)

Pertanyaan itu diajukan kepada Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Tony Fernandes.

Pengguna Twitter juga kelihatan ramai yang mempersoalkan kredibiliti Fattah untuk menghasilkan buku.

Hasrul Rizwan menulis di Twitternya: “Tak guna betul. Aku taip novel tiap-tiap hari sampai bengkak pergelangan tangan. Fattah Amin tulis 5 rangkap jual sampai RM60. Tak lawak lak tu.”

Fattah merupakan seorang pelakon yang dikenali menerusi drama televisyen Suri Hati Mr Pilot di mana beliau berganding dengan pelakon wanita Neelofa.

Bercakap kepada mStar Online mengenai kritikan diterima, Fattah berkata beliau menganggapnya sebagai satu dugaan.

“Saya anggap ini dugaan untuk saya dan saya sentiasa beringat tujuan asal saya menerbitkan buku ini iaitu ingin berkongsi tips, kata-kata positif serta nasihat,” beliau dipetik berkata mStar Online.

Menurutnya lagi, pembelian buku tersebut turut disertakan dengan cakera padat singlenya iaitu lagu bertajuk Wanita Terakhir.

Bukunya turut dikritik kerana penggunaan hashtag #QalifModen.

Ini berikutan andaian bahawa penggunaan perkataan Qalif mungkin merujuk kepada Khalifah atau Caliph (di dalam Bahasa Inggeris).

Namun ejaannya yang menggunakan huruf Q dikritik kerana tidak membawa makna khalifah, berikutan pangkal huruf yang sepatutnya dieja dengan ‘Kh’ bagi huruf arab ‘Kho’.